Saturday 21 December 2013

P&S: THE VOICE & I

Just as I was about to believe
that I'd moved on, I had deceived.
Deceived my heart, for being a pretender
every little smile was never sincere.

The voice told me to forget and forgive
but the pain inside continued to live.
The fear of failure I couldn't remove.
Being strong I failed to prove.

BUT WAIT.

"To my own worries, Shall I surrender
When the road to happiness is almost near?"

Just as my hope was about to fade
The voice told me: "It is not too late
To heal the wound and relive the history
resolve the past and keep good memories".

Just as I was about to believe
- that l was worthless -
I remembered that I was born,
For one definite reason.

dm, 2013

P&S: BICARA PENAWAR DUKA

Tuhan,
Akulah manusia paling rendah di dunia ini.
Akulah manusia paling hina.
Betapa beratnya dosa-dosa yang ku heret bersamaku.
Betapa pedihnya menghadapi kebencian manusia terhadapku.

Tuhan,
Kepada siapakah harus aku curahkan sesalanku
Ketika dunia ini sempit untuk menerimaku?
Tertimbus di daratan,
tiada hamparan tempat aku menumpang kasih
Terapung di lautan
Sucinya air tidak mampu membersihkan maruahku

Oh Tuhan Yang Maha Pengampun,
Hanya di hadapan-Mu aku berani mengangkat wajah

Walau segan hatiku merasa
Untuk meminta secebis rahmat-Mu
Ku tadahkan jua telapak tangan ini
Semoga dapat menampung jernihnya titisan maghfirah-Mu



Dalam sebuah Hadith Qudsi, Allah berfirman:

Wahai anak-anak Adam, selagi mana engkau memohon dan mengharapkan dari-Ku, Aku ampunkan engkau walau apapun dosamu, Aku tidak peduli.


Wahai anak-anak Adam, jika dosamu sampai ke puncak langit, lalu engkau pohon keampunan dari-Ku, Aku ampunkan engkau, aku tidak peduli.


Wahai anak-anak Adam, engkau jika datang kepada-Ku dengan dosa yang hampir memenuhi bumi, namun engkau menemui-Ku tanpa mensyirikkan Daku dengan sesuatu, nescaya aku datang kepadamu dengan penuh keampunan.

(Riwayat Imam at-Tirmizi).

Friday 11 October 2013

AL-QURANUL KARIM - SEBUAH TAFAKURAN

Assalamu alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
Bismillahirrahmanirrahim

Al-Quranul Karim

Al-Quranul Karim merupakan kalam Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam melalui perantaraan Mala’ikat Jibril ‘Alaihissalam. Setiap kalimat di dalam kitab suci ini – apabila dibaca – menjadi ibadah buat umat Islam, manakali isi kandungannya pula mencakupi segala bentuk hukum dan perundangan, begitu juga dengan ajaran akhlak Islam yang halus, bukti-bukti tanda kekuasaan Allah, serta kisah-kisah umat terdahulu yang wajib menjadi kepercayaan umat Islam dalam meniti kehidupan di dunia ini.

Ada banyak khilaf ulama tentang tarikh sebenar serta bagaimana proses penurunan Al-Quran namun secara kesimpulannya, pandangan yang kita pegang ialah Al-Quran diturunkan ke Baitul Izzah di langit dunia pada bulan Ramadhan pada malam Lailatul Qadar, dan setelah itu barulah potongan ayat-ayat suci Al-Quran ini diturunkan secara berperingkat-peringkat kepada Rasul Junjungan Nabi Muhammad sallallahu Alaihi Wa Sallam menurut situasi dan peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang dakwah baginda.

Rahsia Makki & Madani

Kerana itu kalau kita perhatikan, ayat-ayat yang diturunkan di Mekah semasa dakwah tersembunyi lebih menjurus kepada akidah dan tanda-tanda kekuasaan Allah, Setelah Rasulullah berhijrah ke Madinah dan berdakwah secara terang-terangan, barulah ayat-ayat yang turun lebih kepada hukum-hakam dan perundangan Islam.

Allah subhanahu wa ta’ala dengan segala ilmu-Nya yang Maha Luas mengetahui bahawa pada saat umat Islam masih beriman secara sembunyi, mereka belum mampu menanggung tanggungjawab agama yang berat, maka dilunakkan-Nya dahulu hati mereka untuk merenung ayat-ayat renung cipta (tafakur) supaya kuatlah iman mereka dan kepercayaan mereka terhadap keesaan Allah dan kehebatan kerajaan-Nya.

Saya cadangkan para remaja kita untuk sama-sama merujuk senarai surah-surah di muka surat terakhir mushaf Al-Quran. Setiap surah akan dikategorikan “Makkiyah” (turun di Mekah), mahupun “Madaniyah” (turun di Madinah). Perhatikan tafsiran ayat-ayat dalam surah tersebut. pasti berbeza bukan? Sekurang-kurangnya tahu lah sudah sedikit dimana tempat-tempat ia diturunkan. Terbayang lah sudah sedikit apa perasaan dan situasi Rasulullah ketika menerima wahyu. Ini adalah salah satu cara kita mentadabbur Al-Quran yang mana ia lebih bermanfaat daripada hanya sekadar membacanya tanpa memahami langsung isi kandungannya.

Membaca Al-Quran Itu Ibadah

Tidaklah dapat kita sangkalkan bahawa membaca Al-Quran merupakan ibadah yang mulia mendapat ganjaran daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Dari Ibnu Mas'ud Radhiallahu 'Anhu berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Orang yang membaca satu huruf dari Kitabullah (Al-Quran), maka ia memperoleh satu kebaikan, sedang satu kebaikan itu akan dibalas dengan sepuluh kali lipat yang seperti itu. Saya tidak mengatakan bahawa Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif adalah satu huruf, Lam satu huruf dan Mim juga satu huruf."

(Hadith riwayat Imam At-Tirmizi dan dia mengatakan bahwa ini adalah Hadis Hasan Sahih).

Buat yang tidak lancar bacaannya pula, janganlah merasa putus asa atau malu untuk belajar, kerana biskita jua pasti mendapat pahala.

Dari Aisyah Radiyallahu 'Anha, berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Orang yang membaca al-Quran dan ia sudah mahir dengan bacaannya itu, maka ia adalah beserta para malaikat utusan Allah yang mulia lagi sangat berbakti, sedang orang yang membaca Al-Quran dan ia terbata-bata dalam bacaannya (tidak lancar), juga merasa kesukaran di waktu membacanya itu, maka ia dapat memperoleh dua pahala."

(Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim).

Jangan Cepat Menyalahkan

Betapa luasnya rahmat Allah yang Maha Memahami batas kemampuan hamba-Nya. Namun segelintir masyarakat kadang-kadang terlalu cepat menyalahkan bacaan mereka yang kurang fasih lidahnya, sehingga kadangkala menyebabkan mereka berputus asa. 

Galakkanlah orang yang baru berjinak-jinak dengan Al-Quran ini dengan memberitahu ganjaran Allah ke atas mereka yang berusaha belajar Al-Quran walaupun lidahnya pelat atau sukar. Siapa tahu keikhlasan hati mereka membaca kalam Allah itu lebih mulia pahalanya di sisi Allah berbanding seorang qari yang dengan lagu Sikah-nya atau Rast-nya, mahupun nahawand-nya tetapi membaca Al-Quran kerana ingin pujian manusia dan habuan dunia, tanpa mengamalkan ajaran Al-Quran yang sebenar-benarnya.

Al-Quran Di Negara Zikir: Saranan & Cadangan

Alhamdulillah di Negara Brunei Darussalam, keagungan Al-Quran terus diangkat dengan wujudnya Institut tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, begitu juga dengan Skim Tilawah Al-Quran Remaja. Tidak kurang juga dengan penubuhan Universiti Islam Sultan Sharif Ali yang mempunyai bidang khusus iaitu ilmu Tafsir dan Hadith.

Selain daripada kelas-kelas muqaddam atau kelas mengaji Al-Quran yang sedia ada, penulis juga mencadangkan agar dibukakan kelas-kelas Tadabbur Al-Quran yang memfokuskan kepada elemen Tafsir. Dengan itu orang awam akan lebih menghayati isi Al-Quran bermula daripada cara ia diturunkan, sebab-sebab turunnya ayat dan peristiwa-peristiwa yang terjadi di sebalik itu. Pensyarah saya yang merupakan seorang ilmuan tafsir juga pernah mencadangkan agar dibukakan Stesen radio tafsir yang pastinya akan membantu mendidik masyarakat secara berperingkat.

Tarannum + Tajwid - Tadabbur= ???

Pesanan dan nasihat saya kepada diri sendiri, juga kepada remaja dan belia yang berkecimpung secara khusus di dalam bidang Al-Quran, atau mempelajari bahasa Al-Quran, mahupun para pensyarah serta mahasiswa yang berinteraksi dengan Al-Quran di dalam pendidikan, ingatlah bahawa segala hafalan Al-Quran, bacaan berlagu dan teori-teori tafsir yang dipelajari itu perlu disertai dengan pemahaman dan tadabbur yang amat dalam.

Suatu hari nanti golongan orientalis mahupun musuh Islam dengan segala kelicikan hujah mereka akan cuba menghentam pegangan kita dan mengkritik Al-Quran dan Sunnah lalu seandainya kita hanya menghafal ayat-ayat secara membabi buta tanpa memahami hujah-hujah di dalamnya, ataupun sekadar mengetahui terjemahan al-quran tanpa mengamalkannya, sia-sialah ilmu yang kita timba. Sedangkan harapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia adalah untuk melihat Generasi Zikir ini menjadi penggalas tanggungjawab untuk mempertahankan elemen Islam di dalam gagasan Melayu Islam Beraja.

Siapakah Ulama Di Sisi Tuhan?

Buat golongan awam yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, Al-Quranul Karim merupakan rahmat untuk sekalian manusia bahkan seluruh Alam. Memang benar para agamawan dan ahli tafsir itu mempunyai tanggungjawab tersendiri dalam mempertahankan keagungan Al-Quran, namun pujian Allah di dalam al-Quran bukan khusus untuk mereka.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala di dalam Surah Fathir ayat 28:

"Sesungguhnya orang yang takut di antara hamba-hambanya hanyalah ulama."

Para ulama mentafsirkan "ulama" di dalam konteks ayat ini bukanlah sekadar orang yang belajar ilmu feqh atau tauhid, namun ulama disini adalah orang yang takutkan Allah dan menyedari keesaan Allah melalui kajian atau tafakur yang mendalam. Ini adalah kerana potongan ayat yang sebelumnya menyuruh manusia merenung kejadian Alam dan ciptaan Tuhan.

Di dalam Al-Quran banyak ayat yang menyuruh kita untuk memerhatikan asal-usul kejadian manusia, juga perubahan cuaca dan musim. Perkara ini kalau dihayati oleh pengkaji sains atau cuaca, pasti bertambah keyakinan mereka terhadap Al-Quran dan ajarannya.

Kita Semua Mampu

Kita sebenarnya mampu untuk menjadi ulama di sisi Tuhan, selagimana kita rajin menghayati dan mentadabbur Al-Quran, merenung tanda-tanda kekuasaan Allah di dalamnya, mengamalkan hukum hakam dan nilai-nilai akhlak yang diajarkan, serta merenung kisah-kisah umat yang terdahulu sebagai pedoman. Kesemua itu pada akhirnya membawa kita untuk mengenali Tuhan dan menginsafi diri kita sebagai hamba yang memerlukan bimbingan.

Remaja Zikir, bukan hanya menghafal Al-Quran tetapi memahami isi kandungannya dan mempraktikkannya di dalam kehidupan.





Thursday 10 October 2013

KESABARAN DI DALAM KEHIDUPAN

Assalamu alaikum Wa Rahmatullahi Wa barakatuh
Bismillahirrahmanirrahim.

Suatu ketika setelah kita lama menanti untuk menerima gaji hasil titik peluh kita. Dalam perjalanan kita untuk mengambil wang tersebut, kita ditimpa kemalangan dijalan raya. Wang yang kita bayangkan akan dapat menampung perbelanjaan untuk satu bulan seterusnya, habis pula digunakan untuk me-repair kereta. Dalam hati merasa sedih dan kesal. Dalam hati sempat tertanya-tanya mengapa takdir seperti ini menimpaku. Namun dengan rasa keimanan dan ketakwaan, dan akur dengan ujian yang menimpa, kita mengambil keputusan untuk terus bersabar dan tidak sekali-kali melafazkan melalui lidah kita, sesuatu kata yang melawan kehendak Allah mahupun menimbulkan kemurkaan-Nya.

Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Rojiun. Sesungguhnya kita ini milik Allah dan kepada-Nyalah tempat kembali.

Tafakur Remaja Zikir kali ini membawa remaja melihat tingkat kesabaran yang diajarkan di dalam Islam dan beberapa perihal berkaitan kesabaran. Secara umumnya kesabaran boleh kira renung melalui tiga peringkat.

Kesabaran pertama ialah sabar ketika melakukan ibadat.
Kedua, kesabaran ketika menjauhi maksiat.
Ketiga, kesabaran ketika ditimpa musibah dan ujian.

Kesabaran pertama

Ramai yang beranggapan bahawa apabila kita ingin melakukan ibadat, maka hati kita hendaklah ikhlas. Namun keikhlasan ini tidaklah bererti kita tidak menemui kesukaran di dalam melaksanaan ibadah tersebut.

Kita lihat saja sebahagian manusia yang tidak pernah solat, kemudian dia berazam untuk mula berjinak-jinak menunaikan ibadah ini. Pasti dia akan diuji dengan rasa keberatan dan kesusahan untuk melakukannya. Seandainya dia menyalah ertikan kesukaran ini sebagai “tidak ikhlas”, maka dia akan meninggalkan solat dengan alasan:

“Buat apa ku solat, kalau dalam keadaan terpaksa dan tidak ikhlas”.

Manusia yang mempunyai anggapan seperti ini mungkin terlepas pandang makna kesabaran di dalam menunaikan ibadat.

Apabila kita sudah tekad untuk menunaikan solat, anggaplah rasa malas dan tidak ikhlas itu sebagai dugaan dan cubaan, lalu apabila kita tetap tekun dan sabar melatih diri untuk menunaikan 5 waktu dengan sempurna, pasti Allah subhanahu wa Ta’ala tidak akan mensia-siakan kesabaran kita itu bahkan menghadiahkan kita - setelah kesabaran ini -keikhlasan dan kemanisan beribadah kepada-Nya.

Kesabaran Kedua

Tingkat kesabaran yang kedua ialah kesabaran ketika menjauhi maksiat. Di zaman globalisasi ini, sangat sukar untuk kita untuk mengelakkan panca indera kita daripada menemukan sesuatu yang berunsurkan maksiat. Di saat hati kecil kita terpanggil untuk kembali kepada Allah dan menjauhi segala maksiat, tiba-tiba laman-laman sosial dan laman sesawang pula - tanpa diminta - memaparkan perkara-perkara yang menjerumuskan kita kembali kepada tabiat lama. Jika kita bersabar dalam menahan hawa nafsu kita daripada melakukan maksiat ini, pasti Allah akan membalas dengan syurga.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dalam surah An-Nisa ayat 31 yang mafhumnya:

"Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar daripada apa yang telah dilarang daripada kamu, nescaya akan diampuni dosa-dosa kamu dan dimasukkan kamu ke dalam sebaik-baik tempat kemasukan (syurga)."

Kesabaran Ketiga

Tingkat kesabaran yang ketiga ialah sabar saat ditimpa musibah. Sudah menjadi sunatullah di dalam kehidupan manusia ini, kita pasti tidak akan lepas daripada dugaan mahupun ujian yang kadangkala menduga keimanan kita. Orang kaya, orang miskin, raja-raja mahupun rakyat biasa, kesemuanya  Allah berikan kesempatan untuk merasai ujian dan cabaran kehidupan.

Namanya kita sebagai hamba Allah, tugas kita adalah untuk menyembah-Nya. Setiap dugaan yang mendatang itu, kita tadah dengan penuh kesabaran walau dalam kesedihan, dengan keyakinan bahawa Allah tidak menimpakan kepada hamba-Nya kecuali Hamba itu pasti mampu untuk melaluinya. Bahawa setiap kesulitan dan kesempitan ini, pasti akan menemui jalan yang terang dan lapang, dengan syarat kita sebagai hamba Allah sentiasa kembali memohon, merintih dan meminta hanya kepada-Nya.

Tingkat kesabaran yang ketiga melatih kita untuk menyedari bahawa keselamatan dan kesenangan yang telahpun Allah tarik ini sebenarnya telahpun Allah gantikan dengan pahala yang berlipat ganda dan kesenangan hidup melalui jalan-jalan yang kita tidak sangka.

Seorang remaja yang lalai dalam kebahagiaan cinta monyetnya mungkin sempat bergelumang dengan dosa. Lalu apabila Allah menarik kebahagiaan itu dengan terjadinya perpisahan, sebenarnya mengandungi hikmah yang lain sekalipun zahirnya nampak seperti menyedihkan. Seandainya remaja ini mencari Tuhan dalam mengubati dukanya, maka setelah Allah cabut nikmat cinta fana itu, Allah pasti akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik iaitu rasa kerinduan untuk berdoa dan memohon kepada Allah. 

Kerinduan kepada Tuhan ini mana mungkin akan mengusik hati remaja yang tidak sabar bahkan semakin jauh daripada Allah dan marah kepada takdir Allah atas apa yang terjadi.

Renunglah diri

Sepatutnya kita merenung apakah kesilapan yang pernah kita lakukan di masa lalu yang mungkin menjadi asbab perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Dalam masa yang sama beriman kepada Allah bahwa sesuatu tidak terjadi melainkan dengan takdirnya.

Kita sepatutnya merenung lebih dalam keadaan diri kita. Apabila kita sedar diri kita layak untuk mendapat ujian ini, kita cepat-cepat memohon ampun kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu maha pengampun lagi maha penerima taubat. Tatkala kita merasakan bahwa kita tidak layak menerima dugaan ini dan merasakan kita selama ini telah melakukan yang terbaik di dalam hidup, ingatlah bahwa mungkin Allah menguji kita kerana Dia ingin mengangkat darjat kita di sisi-Nya. 

Hidup ini hanya sekejap. Nikmat Allah begitu banyak. Hikmah ujian begitu luas.

Perpisahan Nabi Ya’qub dan putera kesayangannya Nabi Yusuf berlaku dalam tempoh 40 tahun. Lalu apakah yang dikatakan oleh Nabi Ya’qub saat rasa kehilangan dan kerinduan serta kedukaan menimpanya?

Baginda berkata:

“Sesungguhnya aku mengadu kesusahanku dan kesedihanku hanya kepada Allah”.

- Surah Yusuf, Ayat 86

Remaja Zikir, berfikir tentang hikmah kehidupan, dengan penuh keimanan dan kesabaran.

Friday 26 July 2013

14: RAGAM PEMANDU KITA

Assalamu alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
Bismillahirrahmanirrahim
Senario Jalanan

Kelmarin saya memandu kereta mengikuti lorong sebelah kiri. Maklumlah tidak ada urusan yang hendak dikejar, jadi kelajuan pada tahap sederhana. Beberapa saat perhatian saya dicuri oleh gelagat dua buah kereta di lorong kanan.

Sebuah kereta cuba menghampiri kereta di hadapannya yang bergerak begitu perlahan. Oleh kerana yang dihampiri ani tidak melajukan lagi speednya, pemandu yang usulnya gagas atu cepat-cepat beralih ke lorong kiri tepat dihadapan kereta saya, mungkin ingin mencuba memotong dari kiri pula. Sebuah senario pun bermula. Yang lambat tadi tiba-tiba melajukan gerak, seperti tidak rela dipotong jalannya.

Entah berapa ribu rakyat Brunei yang menyaksikan fenomena ini saban hari. Entah apa yang dikejar di jalan raya itu. Jalan raya yang sepatutnya menjadi tempat menuju destinasi, bertukar menjadi gelanggang aksi formula 1. Kalau ada emas betumpuk 100 meter dihadapan, mau jua saya ikut belumba. Tapi mun ganya kan mempertahankan keegoan, rasanya nyawa pemberian Tuhan sangat tidak wajar untuk dijadikan taruhan.

Traffic Jam : Jangan Kedekut.

Pagi-pagi seawal 6.45 atu, jalan Jangsak menuju Beribi, sudah mulai sesak. Mungkin pemandu yang mendengarkan radio saat ani pun sedang menanti kereta untuk bergerak perlahan setiap minit. Macam-macam gelagat manusia setiap kali berlakunya kesesakan lalu lintas. Hmh. Kura-kura dalam perahu, orang minta jalan, dia buat tak tahu. Dengan muka marung tidak mahu bertolak ansur sambil berkata:

“Jalan raya bukan tempat untuk bersedekah atau beramal”.

Padahal kalau kitani fikir-fikirkan, pagi-pagi ani tah waktu yang paling sesuai untuk membuat kebajikan. Semoga dengan kitani memudahkan pemandu lain, urusan kitani akan Allah permudahkan. Bercakap tentang memulakan hari dengan kebajikan, saya  teringat sebuah hadith Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa orang yang menunaikan solat subuh itu akan berada di dalam jaminan Allah sepanjang hari.

Pentingkan Diri Sendiri

Ada juga pemandu yang terlebih pandai, Dua lorong menjadi tiga lorong. Macam ia seorang ganya yang gagas kan keraja atau menghantar anak sekolah di negara Brunei Darussalam ani. Lalu tanpa segan silu mengasak di tepi lorong kiri. Bila ternampak polis baru tah sipu-sipu kan kembali ke sirotal mustaqim. Ani pun mun direnung-renungkan, jika 30 buah kereta yang dipotong secara tidak bertimbang rasa, 30 jua lah doa-doa atau ucapan-ucapan kurang baik diucapkan oleh pemandu lain yang tidak berpuas hati, yang mengikut peraturan dan undang-undang negara. Wal ‘Iyazu Billah!

Merangkap Wartawan Tidak Bertauliah

Ada jua lagi pemandu yang pintar atu, sambil memandu, sambil menggunakan telefon bimbit. Sekarang terlalu banyak aplikasi yang menarik sampai waktu memandu pun inda lagi kan telapas dari tangan. Ramai pemandu yang menjadi wartawan tidak bertauliah. Mana tidaknya, bila ada kemalangan berlaku, masing-masing berlumba-lumba untuk mengambil gambar kejadian menggunakan telefon bimbitnya.

Pada dasarnya ia nampak seperti kerja yang baik iaitu menyebarkan informasi tapi pada sudut lain pula, saya amat terkilan mengapa anak bangsa saya jadi tidak sensitif langsung terhadap perasaan mangsa serta keluarga, dengan menyebarkan gambar tadi di whatsapp dan sebagainya. Adakah tata susila Melayu atau adab ajaran Islam mendidik kita untuk menjadi penjaja kisah hidup orang lain?

Nabi Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam bersabda:

"Seorang muslim itu adalah saudara muslim lainnya, dia tidak boleh menzaliminya dan menghinakannya. Sesiapa yang membantu keperluan saudaranya maka Allah akan memenuhi keperluannya. Sesiapa yang melapangkan satu kesusahan seorang muslim maka Allah akan melapangkan satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan hari kiamat nanti. Dan sesiapa yang menutupi aib seorang muslim maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat". (HR Muslim).

Zikir Itu Di Mana-mana

Kita sering terlepas pandang, menganggap bahawa zikir mengingat Allah itu hanya ketika solat dan baca quran semata. Kita sering lupa bahawa sekecil-kecil perkara seperti adab sopan ketika berada di jalan raya, boleh menjadi penyumbang kepada pahala yang mulia mahupun dosa yang tidak nyata.

Ingatlah bahawa zikir itu adalah ingatkan Allah dengan mulut, hati dan perbuatan kita, juga dengan menjaga Hak Allah dan Hak sesama manusia. Allah Maha Melihat setiap pergerakan hamba-Nya.

Saya Dayangku Mumtazah, penulis dan penyampai rancangan Remaja Zikir musim pertama, semoga perkongsian ini memberi manfaat buat kita semua, sehingga kita berjumpa lagi di kesempatan yang lain pula.

Remaja Zikir, Remaja Fikir.

(Episod Terakhir Musim Pertama).

dm, 2013

Thursday 25 July 2013

13: HIKMAH UJIAN: TERAPI ZIKIR & FIKIR

Assalamu alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
Bismillahirrahmanirrahim
Kecurian???

Patah tumbuh, hilang berganti. Saya tidak tahu kalau di dunia ini ada manusia yang tidak pernah kehilangan sesuatu. Kadang-kadang kehilangan itu terjadi kerana kecuaian kitani sendiri, kadang-kadang kerana pencuri itu ada di mana-mana. Jangankan di tempat ber-security ada yang berani membawa lari kereta, di surau, ketika mangsa sedang sujud menghadap ilahi pun, ada tia jua manusia yang tergamak mencuri hak milik orang. Jadi hati-hati di mana pun kita berada, kerana apa yang pasti, pencuri itu ada di mana-mana.

Saya tidak faham kenapa ada manusia sebegitu. Saya tidak mempersoalkan ia masuk syurga kah ke neraka kah kerana atu hanya Allah yang berhak menilai, tapi perbuatannya atu jelas-jelas haram. Kalaulah kebetulan ada pencuri yang sedang mendengar siaran Remaja Zikir ketika ini, saya kan bertanya, nyaman kah tidur biskita malam-malam? Tenangkah jiwa biskita menzalimi hidup orang. Apapun alasan yang diberikan, duit dan harta benda dapat dicari, tapi awas, doa orang yang dizalimi, harus biskita takuti.

Tersebut di dalam sebuah hadith Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam yang sahih yang direkodkan oleh Imam Al-Bukhari:

"Tiga doa yang sangat mustajab, doa orang yang berpuasa, doa orang yang dizalimi dan orang yang musafir."

‘Inna Lillah’  : Siapa Meninggal?

Buat yang pernah kecurian atu, percayalah akan qada’ dan qadar Tuhan. Ketika ditimpa musibah dalam apa jua bentuk dan keadaan, katakanlah Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Raji’un. Sesungguhnya kami ini milik Allah dan kepada Allah lah tempat kami kembali. Cali jua kadang-kadangnya kalau di kalangan masyarakat Melayu kitani, pantang di sabut Inna Lillah – automatik ditanya : Siapa meninggal dunia?.

Hikmah Ujian

Allah Maha bijaksana dalam mengatur kehidupan manusia. Setiap ujian yang menimpa itu pasti bersama dengan hikmah dan rahsia yang hanya Allah yang mengetahuinya. Biasa lah manusia ini, selalu bersyukur hanya diwaktu senang tetapi lupa untuk bersyukur diwaktu susah. Cuba bayangkan jika dalam kehidupan ini segala urusan berjalan seperti yang kita mahukan. Dari lahir sampai tah dapat kerja, beranak bercucu, kita jalani tanpa ada ujian dan dugaan, sudah tentu akan timbul secebis rasa kesombongan bahawa dunia ini milik kita, juga kurang penghargaan terhadap rezeki Allah, dan merasakan seolah-olah kita berkuasa mewajibkan Allah untuk mengabulkan segala kemahuan dan kerakusan kita.

Kadangkala Allah menarik satu nikmat itu adalah untuk menjadikan kita sedar siapa kita ini. Bahawa kita tiada daya untuk mempertahankan apa yang kita ada kecuali dengan kuasa dan izin Allah jua. Lalu bersyukurlah bila dengan adanya segala kesedihan dan kehilangan yang menimpa itu, kita kembali mengingat Allah, kita kembali memohon ampunan-Nya dan kita kembali memahami bahawa hidup ini hanyalah pinjaman. Segala yang kita miliki boleh ditarik oleh Allah bila-bila masa.

Hilang Sudah Berganti

Kadangkala juga kita tidak sedar betapa segala yang kita hilang itu sebenarnya sudah Allah gantikan dengan yang lebih baik. Mungkin bila hilang kereta, Allah tidak pulangkan kereta yang sama, tetapi dengan kesabaran menghadapi ujian itu membuatkan kita semakin dikasihi Allah, Lalu Allah menggantikan sedikit harta dunia yang kita hilang dengan memberikan keampunan dan kemudahan dalam segala urusan dan ditambahkan rezeki melalui jalan-jalan yang tidak disangka. Semuanya soal akidah. Soal kepercayaan kita bahawa Allah itu maha Kaya, Maha Pemberi ujian dan Maha Pembuka jalan, juga Maha Mendengar keluhan hati hamba-hamba-Nya.

Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Salam bersabda: “Tidak seorang muslim pun yang ditimpa keletihan, penyakit, susah hati, sedih, disakiti orang, derita, sehingga jika sebatang duri menikamnya, kecuali Allah memadamkan dengan itu semua dosa-dosanya” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Remaja, Jangan Putus Asa

Remaja pula kadangkala menghadapi ujian yang tidak kurang hebatnya. Cita-cita kan melanjutkan pelajaran ke Azhar mahupun Oxford, tapi ada tia menyangkut satu dua matapelajaran menyebabkan ia inda kecukupan syarat. Jika dugaan ini kita anggap sebagai bala dan murka Allah semata-mata, dan kita berputus asa daripada rahmat-Nya, maka jadilah kita manusia yang hidup sia-sia yang menghabiskan sisa umur marahkan takdir Tuhan.

Saya berkongsi dulu pernah kecewa bila tidak dapat melanjutkan pengajian ke luar negeri. Saya mengeluh mengenang nasib diri yang malang berbanding kawan-kawan, tapi sekarang, setelah empat tahun, saya merenung kembali apa yang telah saya lalui. dengan rasa bersyukur saya menyedari, kalau saya belayar dulu atu, belum tentu saya mendapat peluang yang Allah berikan kepada saya semasa empat tahun belajar di Negara Brunei Darusalam. Belum tentu juga saya akan berpeluang untuk menulis dalam Rancangan Remaja Zikir ini. Bahkan pencapaian dan peluang terbaik yang saya perolehi itu semua terjadi setelah Allah menimpakan ujian.

Subhanallah wahai remaja sekalian, ajaib hidup ini kalau kita melihat setiap ujian daripada Allah itu sebagai jalan untuk Allah membukakan pintu rezeki-Nya yang lebih luas. Dengan itu kita pasti tidak akan takut untuk menghadapi apa jua kemungkinan. Tugas kita adalah berusaha dan berdoa dan Allah lah penentu segala.

Usuluddin Jangan Dipandang Remeh!

Akidah yang mantap itu adalah kunci kekuatan rohani. Itulah kesilapan masyarakat kita, sering meremehkan persoalan tauhid dalam kehidupan kita. Bidang Usuluddin sering dianggap tidak penting. Realiti hari ini, di negara kita, generasi muda yang mengambil jurusan ini semakin pupus. Anak-anak diajar solat tanpa dididik kenapa dia mesti mengingat Tuhan. Anak-anak disuruh berwudu tanpa diajar kenapa wajib bersih bila ingin menghadap Yang Esa. Yang pastinya, Solat tunggak langgak dalam keadaan marah kepada takdir Allah itu pasti tidak sama dengan solat orang yang ditimpa musibah lalu menyerahkan segala urusan hidup dan matinya hanya kepada Allah.

Hakikat Ayat 1000 Dinar

Orang-orang melayu kita sangat suka dengan ayat-ayat dan segala macam doa untuk menjadikannya cepat kaya, tanpa mengetahui bahawa potongan ayat 2 & 3 surah At-Talaq yang popular sebagai ayat seribu dinar itu - kalau difahami - merupakan ayat akidah yang boleh menjadi pengubat bagi segala keperitan dan kesusahan hidup. Maka marilah kita renungkan tafsiran ayat ini, Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang bermaksud:

“Sesiapa yang bertaqwa kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya), nescaya akan diberikannya kelapangan (jalan keluar dari segala perkara yang menyusahkannya). Dan diberikannya rezeki yang tidak disangka-sangka. Dan (ingatlah), sesiapa yang bertawakal (berserah diri bulat-bulat) kepada Allah, maka dicukupkan baginya (keperluan untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala yang di kehendaki-Nya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

- (Ayat 2 & 3 Surah At-Talaq)

Jangan hanya menggantung sulaman ayat seribu dinar ini di dinding bilik tamu, tapi fahami ertinya dan amalkanlah ia dalam kehidupanmu.

Remaja Zikir, berusaha dengan segala kemampuan, reda dengan segala ujian, dan menyerahkan segala ketentuan kepada Tuhan.

dm, 2013

12. MENGENANG KELAHIRAN RASULULLAH SALLALLAHU 'ALAIHI WA SALLAM

 Assalamu alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
Bismillahirrahmanirrahim
Da’wah Rasulullah Penuh Duri

Lautan mana yang tidak bergelora, bumi mana yang tak ditimpa hujan. Begitulah apabila kita duduk merenung perjalanan hayat kekasih Allah, junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Ramai orang yang berfikir, bahawa orang yang dikasihi Allah itu ialah orang yang selalu diberi nikmat dan kesenangan, manakala orang yang diberi dugaan itu merupakan orang yang mendapat bala kerana kemarahan Tuhan. Namun ironinya tidak sebegitu rupa.

Jika kita benar-benar menelusuri kisah perjalanan da’wah Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, kita akan melihat betapa perit dan menyayat hati sejarah hidup baginda tatkala Baginda melalui peristiwa demi peristiwa yang menyakitkan. Namun segala dugaan ini hanya menambahkan lagi keazaman Baginda untuk melaksanakan misi da’wah.

Hasilnya dapat kita lihat hari ini, umat Islam mengenang jasa Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan konsep zikir yang pelbagai. Samada melalui hati yang merindukan Baginda, mahupun ungkapan kata-kata memuji kemuliaan Baginda, juga perbuatan dengan mengikuti segala sunnah ajaran Baginda.

Maulidur Rasul Di Brunei

Di Negara Brunei Darussalam, tarikh kelahiran Rasulullahi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam disambut setiap tahun. Menjelang hari kebesaran ini, Kedengaranlah bunyi alunan Dikir Syarafil Anam bergema di masjid-masjid setelah solat Maghrib dan juga ‘Isya - sebuah kesempatan untuk umat Islam berkumpul bersama - tahap kemeriahan jemaah masjid yang mungkin kedua terbesar setelah bulan Ramadhan. Irama zikir yang diwarisi turun temurun ini bukan saja melambangkan identiti kemelayuan, keislaman dan keberajaan kita di negara ini, tetapi ia juga menunjukkan betapa halus dan indahnya seni Islam yang kita miliki.

Kenapa Zikir Kurang Penghayatan?

Persoalannya, adakah kita benar-benar sudah menghayati erti kandungan zikir ini, ataukah ia semata-mata hanya lontaran suara dari kerongkong sahaja, berteriak sahut menyahut tanpa memahami apa yang dilaung-laungkan? Kalaulah kita benar-benar faham apa erti di sebalik Assalamu ‘Alaika  Zainal Anbiya’i, kita tidak akan menyanyikannya dengan ala kadar seperti kanak-kanak kecil yang iski tanpa sebab ataupun dengan alunan melandih seperti memain-mainkannya pula.

Bayangkan bila kita menyanyi untuk kekasih, adakah kita kan mengungkapkan lirik “Aku cinta padamu”, secara sambil lewa?

Kita sering rasa kagum melihat betapa kaum Nasrani menghayati lagu-lagu dalam upacara keagamaan mereka di gereja, dan saya cukup yakin, kalau kita memiliki penghayatan yang sama dalam zikir syarafil anam ini, kita akan mampu menghasilkan kemerduan yang kolektif, yang membisikkan ketenangan dan kesyahduan hati saat memuji baginda. Semoga niat yang baik akan mendapat keberkatan dan ganjaran yang baik daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala jua.

Cinta Tidak Cukup “Wish Birthday”

Sesungguhnya mencintai Rasulullahi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tidak cukup hanya dengan mengingati tarikh lahir Baginda, ataukah hanya dengan Dikir Syarafil Anam mahupun perarakan besar-besaran yang diadakan saban tahun. Buat adik-adik yang masih belajar pula, tidak cukup mengenali Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam hanya dengan menghafal tarikh lahir Baginda dan fakta sejarah hidup Baginda supaya lulus dalam peperiksaan Tarikh Islam nanti. Jangan sampai sudah abis periksa, ditanya bila nabi lahir, semua ingat-ingat lupa, terutama tahun mashinya, seorang menjawab lain, yang seorang lagi tegiling-giling.

Buat yang rajin ber-facebook pula, mencintai Rasul tidak cukup hanya sekadar tekan ‘like’ pada gambar tulisan ‘Muhammad’, juga tidak hanya sekadar copy paste hadith-hadith yang belum tentu asal-usulnya, konon-kononnya untuk menunjukkan rasa cinta kita kepada Baginda.

Amanah Dalam Menyebarkan Hadith

Perlu diingatkan bersama, bilamana kita menyandarkan sesuatu kata-kata itu kepada Rasulullahi Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam, adalah menjadi kewajiban kita untuk memastikan kesahihan hadith tersebut dan menyebutkan pula sumbernya yakni periwayatnya. Paling selamat adalah untuk mengambil koleksi hadith Kitab Sahih Bukhari dan Muslim. Jangan terlalu taksub ingin diri nampak hebat dengan dalil-dalil hadith tapi rupanya ia hadith palsu. Tidak halal untuk kita menabak-nabak mengatakan sesuatu kalam itu daripada Rasulullah walaupun intipati katanya berunsurkan nasihat dan pedoman.

Marahlah Dengan Bijak

Hari ini Umat Islam marah bila ada filem-filem dan karikatur yang berunsur penghinaan kepada Rasullullahi Sallallahu Alaihi Wasallam. Ya, sebagai umat yang mengaku kasihkan Baginda, kita wajib menentang segala penghinaan ini. Namun ironinya, bila kita menunjukkan tentangan kita dengan reaksi marah yang tidak bertamadun dan tidak matang. Apalah hasilnya kita membalas penghinaan ini dengan keganasan mahupun sumpah seranah yang tidak berkesudahan? Ia hanya akan menjejaskan imej Islam yang sudah lama tercemar akibat Islamophobia yang dicetuskan musuh Islam. Sedangkan orang Islam sendiri tidak mengamalkan isi kandungan al-Quran secara holistik lantas mengetepikan akhlak Islamiyah yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Pembelaan yang bijak ialah pembelaan yang bermaruah, contohnya debat ilmiah yang punya hujah-hujah mantap, serta penghasilan artikel-artikel yang menangkis fitnah terhadap Rasulullah, serta produk seni kreatif seperti musik dan filem yang mengajak manusia mengenali siapa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam dan apakah ajaran yang dibawa olehnya. Sayangnya hari ini, banyak bakat, kreativiti dan kepandaian para remaja yang dibazirkan dengan hasil seni yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Cinta Rasul Bukti Cinta Allah

Sebagai renungan: Abdullah bin Mas'ud Radhiyallahu ‘Anhu mengungkapkan:

“Sampai sekarang masih terlintas dalam ingatanku saat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam mengisahkan seorang Nabi yang dipukul kaumnya hingga berdarah. Nabi tersebut mengusap darah pada wajahnya seraya berdoa: “Ya Allah, ampunilah kaumku kerana mereka kaum yang jahil”. (Muttafaqun 'Alaih).

Sebuah nasihat buat diri sendiri dan kalian, Allah meletakkan syarat bahawa untuk membuktikan kecintaan kita kepada Allah, kita harus terlebih dahulu mengikuti ajaran-ajaran yang dibawakan oleh baginda. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang mafhumnya:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kamu (wahai manusia benar-benar) mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali ‘Imran: 31).


Maka akhirnya, apa yang kita harapkan, ingatan kita kepada Junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam tidak hanya di bulan Rabiul Awal akan tetapi berterusan sampai bila-bila. Allahumma Salli 'Ala Muhammad.

dm, 2012