Friday 11 October 2013

AL-QURANUL KARIM - SEBUAH TAFAKURAN

Assalamu alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
Bismillahirrahmanirrahim

Al-Quranul Karim

Al-Quranul Karim merupakan kalam Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang diturunkan kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam melalui perantaraan Mala’ikat Jibril ‘Alaihissalam. Setiap kalimat di dalam kitab suci ini – apabila dibaca – menjadi ibadah buat umat Islam, manakali isi kandungannya pula mencakupi segala bentuk hukum dan perundangan, begitu juga dengan ajaran akhlak Islam yang halus, bukti-bukti tanda kekuasaan Allah, serta kisah-kisah umat terdahulu yang wajib menjadi kepercayaan umat Islam dalam meniti kehidupan di dunia ini.

Ada banyak khilaf ulama tentang tarikh sebenar serta bagaimana proses penurunan Al-Quran namun secara kesimpulannya, pandangan yang kita pegang ialah Al-Quran diturunkan ke Baitul Izzah di langit dunia pada bulan Ramadhan pada malam Lailatul Qadar, dan setelah itu barulah potongan ayat-ayat suci Al-Quran ini diturunkan secara berperingkat-peringkat kepada Rasul Junjungan Nabi Muhammad sallallahu Alaihi Wa Sallam menurut situasi dan peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang dakwah baginda.

Rahsia Makki & Madani

Kerana itu kalau kita perhatikan, ayat-ayat yang diturunkan di Mekah semasa dakwah tersembunyi lebih menjurus kepada akidah dan tanda-tanda kekuasaan Allah, Setelah Rasulullah berhijrah ke Madinah dan berdakwah secara terang-terangan, barulah ayat-ayat yang turun lebih kepada hukum-hakam dan perundangan Islam.

Allah subhanahu wa ta’ala dengan segala ilmu-Nya yang Maha Luas mengetahui bahawa pada saat umat Islam masih beriman secara sembunyi, mereka belum mampu menanggung tanggungjawab agama yang berat, maka dilunakkan-Nya dahulu hati mereka untuk merenung ayat-ayat renung cipta (tafakur) supaya kuatlah iman mereka dan kepercayaan mereka terhadap keesaan Allah dan kehebatan kerajaan-Nya.

Saya cadangkan para remaja kita untuk sama-sama merujuk senarai surah-surah di muka surat terakhir mushaf Al-Quran. Setiap surah akan dikategorikan “Makkiyah” (turun di Mekah), mahupun “Madaniyah” (turun di Madinah). Perhatikan tafsiran ayat-ayat dalam surah tersebut. pasti berbeza bukan? Sekurang-kurangnya tahu lah sudah sedikit dimana tempat-tempat ia diturunkan. Terbayang lah sudah sedikit apa perasaan dan situasi Rasulullah ketika menerima wahyu. Ini adalah salah satu cara kita mentadabbur Al-Quran yang mana ia lebih bermanfaat daripada hanya sekadar membacanya tanpa memahami langsung isi kandungannya.

Membaca Al-Quran Itu Ibadah

Tidaklah dapat kita sangkalkan bahawa membaca Al-Quran merupakan ibadah yang mulia mendapat ganjaran daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.

Dari Ibnu Mas'ud Radhiallahu 'Anhu berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda, "Orang yang membaca satu huruf dari Kitabullah (Al-Quran), maka ia memperoleh satu kebaikan, sedang satu kebaikan itu akan dibalas dengan sepuluh kali lipat yang seperti itu. Saya tidak mengatakan bahawa Alif Lam Mim itu satu huruf, tetapi Alif adalah satu huruf, Lam satu huruf dan Mim juga satu huruf."

(Hadith riwayat Imam At-Tirmizi dan dia mengatakan bahwa ini adalah Hadis Hasan Sahih).

Buat yang tidak lancar bacaannya pula, janganlah merasa putus asa atau malu untuk belajar, kerana biskita jua pasti mendapat pahala.

Dari Aisyah Radiyallahu 'Anha, berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

"Orang yang membaca al-Quran dan ia sudah mahir dengan bacaannya itu, maka ia adalah beserta para malaikat utusan Allah yang mulia lagi sangat berbakti, sedang orang yang membaca Al-Quran dan ia terbata-bata dalam bacaannya (tidak lancar), juga merasa kesukaran di waktu membacanya itu, maka ia dapat memperoleh dua pahala."

(Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim).

Jangan Cepat Menyalahkan

Betapa luasnya rahmat Allah yang Maha Memahami batas kemampuan hamba-Nya. Namun segelintir masyarakat kadang-kadang terlalu cepat menyalahkan bacaan mereka yang kurang fasih lidahnya, sehingga kadangkala menyebabkan mereka berputus asa. 

Galakkanlah orang yang baru berjinak-jinak dengan Al-Quran ini dengan memberitahu ganjaran Allah ke atas mereka yang berusaha belajar Al-Quran walaupun lidahnya pelat atau sukar. Siapa tahu keikhlasan hati mereka membaca kalam Allah itu lebih mulia pahalanya di sisi Allah berbanding seorang qari yang dengan lagu Sikah-nya atau Rast-nya, mahupun nahawand-nya tetapi membaca Al-Quran kerana ingin pujian manusia dan habuan dunia, tanpa mengamalkan ajaran Al-Quran yang sebenar-benarnya.

Al-Quran Di Negara Zikir: Saranan & Cadangan

Alhamdulillah di Negara Brunei Darussalam, keagungan Al-Quran terus diangkat dengan wujudnya Institut tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, begitu juga dengan Skim Tilawah Al-Quran Remaja. Tidak kurang juga dengan penubuhan Universiti Islam Sultan Sharif Ali yang mempunyai bidang khusus iaitu ilmu Tafsir dan Hadith.

Selain daripada kelas-kelas muqaddam atau kelas mengaji Al-Quran yang sedia ada, penulis juga mencadangkan agar dibukakan kelas-kelas Tadabbur Al-Quran yang memfokuskan kepada elemen Tafsir. Dengan itu orang awam akan lebih menghayati isi Al-Quran bermula daripada cara ia diturunkan, sebab-sebab turunnya ayat dan peristiwa-peristiwa yang terjadi di sebalik itu. Pensyarah saya yang merupakan seorang ilmuan tafsir juga pernah mencadangkan agar dibukakan Stesen radio tafsir yang pastinya akan membantu mendidik masyarakat secara berperingkat.

Tarannum + Tajwid - Tadabbur= ???

Pesanan dan nasihat saya kepada diri sendiri, juga kepada remaja dan belia yang berkecimpung secara khusus di dalam bidang Al-Quran, atau mempelajari bahasa Al-Quran, mahupun para pensyarah serta mahasiswa yang berinteraksi dengan Al-Quran di dalam pendidikan, ingatlah bahawa segala hafalan Al-Quran, bacaan berlagu dan teori-teori tafsir yang dipelajari itu perlu disertai dengan pemahaman dan tadabbur yang amat dalam.

Suatu hari nanti golongan orientalis mahupun musuh Islam dengan segala kelicikan hujah mereka akan cuba menghentam pegangan kita dan mengkritik Al-Quran dan Sunnah lalu seandainya kita hanya menghafal ayat-ayat secara membabi buta tanpa memahami hujah-hujah di dalamnya, ataupun sekadar mengetahui terjemahan al-quran tanpa mengamalkannya, sia-sialah ilmu yang kita timba. Sedangkan harapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia adalah untuk melihat Generasi Zikir ini menjadi penggalas tanggungjawab untuk mempertahankan elemen Islam di dalam gagasan Melayu Islam Beraja.

Siapakah Ulama Di Sisi Tuhan?

Buat golongan awam yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, Al-Quranul Karim merupakan rahmat untuk sekalian manusia bahkan seluruh Alam. Memang benar para agamawan dan ahli tafsir itu mempunyai tanggungjawab tersendiri dalam mempertahankan keagungan Al-Quran, namun pujian Allah di dalam al-Quran bukan khusus untuk mereka.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala di dalam Surah Fathir ayat 28:

"Sesungguhnya orang yang takut di antara hamba-hambanya hanyalah ulama."

Para ulama mentafsirkan "ulama" di dalam konteks ayat ini bukanlah sekadar orang yang belajar ilmu feqh atau tauhid, namun ulama disini adalah orang yang takutkan Allah dan menyedari keesaan Allah melalui kajian atau tafakur yang mendalam. Ini adalah kerana potongan ayat yang sebelumnya menyuruh manusia merenung kejadian Alam dan ciptaan Tuhan.

Di dalam Al-Quran banyak ayat yang menyuruh kita untuk memerhatikan asal-usul kejadian manusia, juga perubahan cuaca dan musim. Perkara ini kalau dihayati oleh pengkaji sains atau cuaca, pasti bertambah keyakinan mereka terhadap Al-Quran dan ajarannya.

Kita Semua Mampu

Kita sebenarnya mampu untuk menjadi ulama di sisi Tuhan, selagimana kita rajin menghayati dan mentadabbur Al-Quran, merenung tanda-tanda kekuasaan Allah di dalamnya, mengamalkan hukum hakam dan nilai-nilai akhlak yang diajarkan, serta merenung kisah-kisah umat yang terdahulu sebagai pedoman. Kesemua itu pada akhirnya membawa kita untuk mengenali Tuhan dan menginsafi diri kita sebagai hamba yang memerlukan bimbingan.

Remaja Zikir, bukan hanya menghafal Al-Quran tetapi memahami isi kandungannya dan mempraktikkannya di dalam kehidupan.





Thursday 10 October 2013

KESABARAN DI DALAM KEHIDUPAN

Assalamu alaikum Wa Rahmatullahi Wa barakatuh
Bismillahirrahmanirrahim.

Suatu ketika setelah kita lama menanti untuk menerima gaji hasil titik peluh kita. Dalam perjalanan kita untuk mengambil wang tersebut, kita ditimpa kemalangan dijalan raya. Wang yang kita bayangkan akan dapat menampung perbelanjaan untuk satu bulan seterusnya, habis pula digunakan untuk me-repair kereta. Dalam hati merasa sedih dan kesal. Dalam hati sempat tertanya-tanya mengapa takdir seperti ini menimpaku. Namun dengan rasa keimanan dan ketakwaan, dan akur dengan ujian yang menimpa, kita mengambil keputusan untuk terus bersabar dan tidak sekali-kali melafazkan melalui lidah kita, sesuatu kata yang melawan kehendak Allah mahupun menimbulkan kemurkaan-Nya.

Inna Lillahi Wa Inna Ilaihi Rojiun. Sesungguhnya kita ini milik Allah dan kepada-Nyalah tempat kembali.

Tafakur Remaja Zikir kali ini membawa remaja melihat tingkat kesabaran yang diajarkan di dalam Islam dan beberapa perihal berkaitan kesabaran. Secara umumnya kesabaran boleh kira renung melalui tiga peringkat.

Kesabaran pertama ialah sabar ketika melakukan ibadat.
Kedua, kesabaran ketika menjauhi maksiat.
Ketiga, kesabaran ketika ditimpa musibah dan ujian.

Kesabaran pertama

Ramai yang beranggapan bahawa apabila kita ingin melakukan ibadat, maka hati kita hendaklah ikhlas. Namun keikhlasan ini tidaklah bererti kita tidak menemui kesukaran di dalam melaksanaan ibadah tersebut.

Kita lihat saja sebahagian manusia yang tidak pernah solat, kemudian dia berazam untuk mula berjinak-jinak menunaikan ibadah ini. Pasti dia akan diuji dengan rasa keberatan dan kesusahan untuk melakukannya. Seandainya dia menyalah ertikan kesukaran ini sebagai “tidak ikhlas”, maka dia akan meninggalkan solat dengan alasan:

“Buat apa ku solat, kalau dalam keadaan terpaksa dan tidak ikhlas”.

Manusia yang mempunyai anggapan seperti ini mungkin terlepas pandang makna kesabaran di dalam menunaikan ibadat.

Apabila kita sudah tekad untuk menunaikan solat, anggaplah rasa malas dan tidak ikhlas itu sebagai dugaan dan cubaan, lalu apabila kita tetap tekun dan sabar melatih diri untuk menunaikan 5 waktu dengan sempurna, pasti Allah subhanahu wa Ta’ala tidak akan mensia-siakan kesabaran kita itu bahkan menghadiahkan kita - setelah kesabaran ini -keikhlasan dan kemanisan beribadah kepada-Nya.

Kesabaran Kedua

Tingkat kesabaran yang kedua ialah kesabaran ketika menjauhi maksiat. Di zaman globalisasi ini, sangat sukar untuk kita untuk mengelakkan panca indera kita daripada menemukan sesuatu yang berunsurkan maksiat. Di saat hati kecil kita terpanggil untuk kembali kepada Allah dan menjauhi segala maksiat, tiba-tiba laman-laman sosial dan laman sesawang pula - tanpa diminta - memaparkan perkara-perkara yang menjerumuskan kita kembali kepada tabiat lama. Jika kita bersabar dalam menahan hawa nafsu kita daripada melakukan maksiat ini, pasti Allah akan membalas dengan syurga.

Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala di dalam surah An-Nisa ayat 31 yang mafhumnya:

"Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar daripada apa yang telah dilarang daripada kamu, nescaya akan diampuni dosa-dosa kamu dan dimasukkan kamu ke dalam sebaik-baik tempat kemasukan (syurga)."

Kesabaran Ketiga

Tingkat kesabaran yang ketiga ialah sabar saat ditimpa musibah. Sudah menjadi sunatullah di dalam kehidupan manusia ini, kita pasti tidak akan lepas daripada dugaan mahupun ujian yang kadangkala menduga keimanan kita. Orang kaya, orang miskin, raja-raja mahupun rakyat biasa, kesemuanya  Allah berikan kesempatan untuk merasai ujian dan cabaran kehidupan.

Namanya kita sebagai hamba Allah, tugas kita adalah untuk menyembah-Nya. Setiap dugaan yang mendatang itu, kita tadah dengan penuh kesabaran walau dalam kesedihan, dengan keyakinan bahawa Allah tidak menimpakan kepada hamba-Nya kecuali Hamba itu pasti mampu untuk melaluinya. Bahawa setiap kesulitan dan kesempitan ini, pasti akan menemui jalan yang terang dan lapang, dengan syarat kita sebagai hamba Allah sentiasa kembali memohon, merintih dan meminta hanya kepada-Nya.

Tingkat kesabaran yang ketiga melatih kita untuk menyedari bahawa keselamatan dan kesenangan yang telahpun Allah tarik ini sebenarnya telahpun Allah gantikan dengan pahala yang berlipat ganda dan kesenangan hidup melalui jalan-jalan yang kita tidak sangka.

Seorang remaja yang lalai dalam kebahagiaan cinta monyetnya mungkin sempat bergelumang dengan dosa. Lalu apabila Allah menarik kebahagiaan itu dengan terjadinya perpisahan, sebenarnya mengandungi hikmah yang lain sekalipun zahirnya nampak seperti menyedihkan. Seandainya remaja ini mencari Tuhan dalam mengubati dukanya, maka setelah Allah cabut nikmat cinta fana itu, Allah pasti akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik iaitu rasa kerinduan untuk berdoa dan memohon kepada Allah. 

Kerinduan kepada Tuhan ini mana mungkin akan mengusik hati remaja yang tidak sabar bahkan semakin jauh daripada Allah dan marah kepada takdir Allah atas apa yang terjadi.

Renunglah diri

Sepatutnya kita merenung apakah kesilapan yang pernah kita lakukan di masa lalu yang mungkin menjadi asbab perkara-perkara yang tidak diingini berlaku. Dalam masa yang sama beriman kepada Allah bahwa sesuatu tidak terjadi melainkan dengan takdirnya.

Kita sepatutnya merenung lebih dalam keadaan diri kita. Apabila kita sedar diri kita layak untuk mendapat ujian ini, kita cepat-cepat memohon ampun kepada Allah. Sesungguhnya Allah itu maha pengampun lagi maha penerima taubat. Tatkala kita merasakan bahwa kita tidak layak menerima dugaan ini dan merasakan kita selama ini telah melakukan yang terbaik di dalam hidup, ingatlah bahwa mungkin Allah menguji kita kerana Dia ingin mengangkat darjat kita di sisi-Nya. 

Hidup ini hanya sekejap. Nikmat Allah begitu banyak. Hikmah ujian begitu luas.

Perpisahan Nabi Ya’qub dan putera kesayangannya Nabi Yusuf berlaku dalam tempoh 40 tahun. Lalu apakah yang dikatakan oleh Nabi Ya’qub saat rasa kehilangan dan kerinduan serta kedukaan menimpanya?

Baginda berkata:

“Sesungguhnya aku mengadu kesusahanku dan kesedihanku hanya kepada Allah”.

- Surah Yusuf, Ayat 86

Remaja Zikir, berfikir tentang hikmah kehidupan, dengan penuh keimanan dan kesabaran.