Assalamu alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
Bismillahirrahmanirrahim
Al-Quranul Karim
Al-Quranul
Karim merupakan kalam Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang diturunkan kepada Nabi
Muhammad Sallallahu Alaihi Wa Sallam melalui perantaraan Mala’ikat Jibril
‘Alaihissalam. Setiap kalimat di dalam kitab suci ini – apabila dibaca –
menjadi ibadah buat umat Islam, manakali isi kandungannya pula mencakupi segala
bentuk hukum dan perundangan, begitu juga dengan ajaran akhlak Islam yang
halus, bukti-bukti tanda kekuasaan Allah, serta kisah-kisah umat terdahulu yang
wajib menjadi kepercayaan umat Islam dalam meniti kehidupan di dunia ini.
Ada
banyak khilaf ulama tentang tarikh sebenar serta bagaimana proses penurunan
Al-Quran namun secara kesimpulannya, pandangan yang kita pegang ialah Al-Quran
diturunkan ke Baitul Izzah di langit dunia pada bulan Ramadhan pada malam
Lailatul Qadar, dan setelah itu barulah potongan ayat-ayat suci Al-Quran ini
diturunkan secara berperingkat-peringkat kepada Rasul Junjungan Nabi Muhammad
sallallahu Alaihi Wa Sallam menurut situasi dan peristiwa-peristiwa yang
berlaku sepanjang dakwah baginda.
Rahsia Makki & Madani
Kerana
itu kalau kita perhatikan, ayat-ayat yang diturunkan di Mekah semasa dakwah
tersembunyi lebih menjurus kepada akidah dan tanda-tanda kekuasaan Allah, Setelah
Rasulullah berhijrah ke Madinah dan berdakwah secara terang-terangan, barulah ayat-ayat
yang turun lebih kepada hukum-hakam dan perundangan Islam.
Allah subhanahu wa
ta’ala dengan segala ilmu-Nya yang Maha Luas mengetahui bahawa pada saat umat Islam
masih beriman secara sembunyi, mereka belum mampu menanggung tanggungjawab
agama yang berat, maka dilunakkan-Nya dahulu hati mereka untuk merenung
ayat-ayat renung cipta (tafakur) supaya kuatlah iman mereka dan kepercayaan mereka
terhadap keesaan Allah dan kehebatan kerajaan-Nya.
Saya
cadangkan para remaja kita untuk sama-sama merujuk senarai surah-surah di muka surat terakhir
mushaf Al-Quran. Setiap surah akan dikategorikan “Makkiyah” (turun di Mekah), mahupun
“Madaniyah” (turun di Madinah). Perhatikan tafsiran ayat-ayat dalam surah
tersebut. pasti berbeza bukan? Sekurang-kurangnya tahu lah sudah sedikit dimana
tempat-tempat ia diturunkan. Terbayang lah sudah sedikit apa perasaan dan situasi Rasulullah ketika menerima wahyu. Ini adalah salah satu cara kita mentadabbur Al-Quran yang mana ia lebih bermanfaat daripada hanya sekadar membacanya tanpa memahami langsung isi kandungannya.
Membaca Al-Quran Itu Ibadah
Tidaklah dapat kita sangkalkan bahawa membaca Al-Quran merupakan ibadah yang mulia mendapat ganjaran daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala.
Dari
Ibnu Mas'ud Radhiallahu 'Anhu berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda,
"Orang yang membaca satu huruf dari Kitabullah (Al-Quran), maka ia
memperoleh satu kebaikan, sedang satu kebaikan itu akan dibalas dengan sepuluh
kali lipat yang seperti itu. Saya tidak mengatakan bahawa Alif Lam Mim itu satu
huruf, tetapi Alif adalah satu huruf, Lam satu huruf dan Mim juga satu
huruf."
(Hadith riwayat Imam At-Tirmizi dan dia mengatakan bahwa ini adalah Hadis Hasan Sahih).
Buat
yang tidak lancar bacaannya pula, janganlah merasa putus asa atau malu untuk
belajar, kerana biskita jua pasti mendapat pahala.
Dari Aisyah Radiyallahu
'Anha, berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:
"Orang yang membaca al-Quran
dan ia sudah mahir dengan bacaannya itu, maka ia adalah beserta para malaikat
utusan Allah yang mulia lagi sangat berbakti, sedang orang yang membaca Al-Quran dan ia terbata-bata dalam bacaannya (tidak lancar), juga merasa
kesukaran di waktu membacanya itu, maka ia dapat memperoleh dua pahala."
(Hadith Riwayat Imam Al-Bukhari dan Muslim).
Jangan Cepat Menyalahkan
Betapa
luasnya rahmat Allah yang Maha Memahami batas kemampuan hamba-Nya. Namun
segelintir masyarakat kadang-kadang terlalu cepat menyalahkan bacaan mereka
yang kurang fasih lidahnya, sehingga kadangkala menyebabkan mereka berputus
asa.
Galakkanlah orang yang baru berjinak-jinak dengan Al-Quran ini dengan
memberitahu ganjaran Allah ke atas mereka yang berusaha belajar Al-Quran walaupun
lidahnya pelat atau sukar. Siapa tahu keikhlasan hati mereka membaca kalam
Allah itu lebih mulia pahalanya di sisi Allah berbanding seorang qari yang dengan
lagu Sikah-nya atau Rast-nya, mahupun nahawand-nya tetapi membaca Al-Quran kerana ingin
pujian manusia dan habuan dunia, tanpa mengamalkan ajaran Al-Quran yang
sebenar-benarnya.
Al-Quran Di Negara Zikir: Saranan & Cadangan
Alhamdulillah
di Negara Brunei Darussalam, keagungan Al-Quran terus diangkat dengan wujudnya
Institut tahfiz Al-Quran Sultan Haji Hassanal Bolkiah, begitu juga dengan Skim Tilawah Al-Quran Remaja. Tidak kurang juga dengan penubuhan Universiti Islam
Sultan Sharif Ali yang mempunyai bidang khusus iaitu ilmu Tafsir dan Hadith.
Selain
daripada kelas-kelas muqaddam atau kelas mengaji Al-Quran yang sedia ada, penulis
juga mencadangkan agar dibukakan kelas-kelas Tadabbur Al-Quran yang memfokuskan
kepada elemen Tafsir. Dengan itu orang awam akan lebih menghayati isi Al-Quran
bermula daripada cara ia diturunkan, sebab-sebab turunnya ayat dan
peristiwa-peristiwa yang terjadi di sebalik itu. Pensyarah saya yang merupakan
seorang ilmuan tafsir juga pernah mencadangkan agar dibukakan Stesen radio
tafsir yang pastinya akan membantu mendidik masyarakat secara berperingkat.
Tarannum + Tajwid - Tadabbur= ???
Pesanan
dan nasihat saya kepada diri sendiri, juga kepada remaja dan belia yang
berkecimpung secara khusus di dalam bidang Al-Quran, atau mempelajari bahasa
Al-Quran, mahupun para pensyarah serta mahasiswa yang berinteraksi dengan
Al-Quran di dalam pendidikan, ingatlah bahawa segala hafalan Al-Quran, bacaan
berlagu dan teori-teori tafsir yang dipelajari itu perlu disertai dengan
pemahaman dan tadabbur yang amat dalam.
Suatu
hari nanti golongan orientalis mahupun musuh Islam dengan segala kelicikan hujah mereka akan cuba menghentam pegangan kita dan mengkritik Al-Quran dan Sunnah lalu
seandainya kita hanya menghafal ayat-ayat secara membabi buta tanpa memahami
hujah-hujah di dalamnya, ataupun sekadar mengetahui terjemahan al-quran tanpa
mengamalkannya, sia-sialah ilmu yang kita timba. Sedangkan harapan Kebawah Duli
Yang Maha Mulia adalah untuk melihat Generasi Zikir ini menjadi penggalas
tanggungjawab untuk mempertahankan elemen Islam di dalam gagasan Melayu Islam
Beraja.
Siapakah Ulama Di Sisi Tuhan?
Buat golongan awam yang terdiri
daripada pelbagai latar belakang, Al-Quranul Karim merupakan rahmat untuk
sekalian manusia bahkan seluruh Alam. Memang benar para agamawan dan ahli
tafsir itu mempunyai tanggungjawab tersendiri dalam mempertahankan keagungan
Al-Quran, namun pujian Allah di dalam al-Quran bukan khusus untuk mereka.
Firman Allah Subhanahu Wa Ta'ala di dalam Surah Fathir ayat 28:
"Sesungguhnya
orang yang takut di antara hamba-hambanya hanyalah ulama."
Para ulama mentafsirkan "ulama" di dalam konteks
ayat ini bukanlah sekadar orang yang belajar ilmu feqh atau tauhid, namun ulama
disini adalah orang yang takutkan Allah dan menyedari keesaan Allah melalui kajian atau tafakur yang mendalam. Ini adalah kerana potongan ayat yang sebelumnya menyuruh manusia merenung kejadian Alam dan ciptaan Tuhan.
Di dalam Al-Quran banyak ayat yang
menyuruh kita untuk memerhatikan asal-usul kejadian manusia, juga perubahan
cuaca dan musim. Perkara ini kalau dihayati oleh pengkaji sains atau cuaca,
pasti bertambah keyakinan mereka terhadap Al-Quran dan ajarannya.
Kita Semua Mampu
Kita sebenarnya mampu untuk menjadi
ulama di sisi Tuhan, selagimana kita rajin menghayati dan mentadabbur Al-Quran,
merenung tanda-tanda kekuasaan Allah di dalamnya, mengamalkan hukum hakam dan
nilai-nilai akhlak yang diajarkan, serta merenung kisah-kisah umat yang
terdahulu sebagai pedoman. Kesemua itu pada akhirnya membawa kita untuk
mengenali Tuhan dan menginsafi diri kita sebagai hamba yang memerlukan
bimbingan.
Remaja Zikir, bukan hanya menghafal Al-Quran tetapi memahami isi kandungannya dan mempraktikkannya di dalam
kehidupan.