Wednesday 8 January 2014

FENOMENA ISLAM AJAIB

a
Sejak kebelakangan ini, kita melihat fenomena "Islam Ajaib" sering dikomersialkan. Masyarakat cepat taksub melihat program-program TV seperti drama yang menggambarkan perkara-perkara ajaib atau pelik sebagai bukti kebenaran Islam.

Kita beriman bahawa Allah Subhanahu Wa Ta'ala berkuasa atas segala sesuatu. Maha Suci Allah. Tiada yang mustahil bagi Allah. Namun, janganlah kita tergesa-gesa menggambarkan Islam ini seolah-olah ia terlalu terdesak menayangkan peristiwa-peristiwa pelik, dan hanya dengan cara itu kita dapat membuktikan kebenaran Islam.

Meskipun ada yang beruntung kerana diberikan keistimewaan oleh Tuhan, tidak pula semua orang dikurniakan pengalaman yang sama. Tidak pula semua kesusahan yang menimpa itu adalah akibat 'karma' seperti tempelakan yang dilontarkan oleh manusia yang rakus dan dendam.

Contohnya: Tidak semua orang terus masuk Islam hanya kerana mimpi diIslamkan (walaupun perkara ini pernah terjadi kepada insan yang saya kenali). Tidak pula semua orang yang matinya buruk adalah manusia yang buruk. Kalaulah semua pengumpat itu bila naik haji tidak dapat melihat ka'bah, maka semua orang takut naik haji kerana takut dosanya diketahui orang. Maha Suci Allah yang rahmat-Nya luas dalam menutup keaiban insan.

b
Jika kita benar-benar ingin menonjolkan kebenaran Islam, gambarkanlah Islam sebagai agama mawaddah dan rahmah. Sebarkanlah betapa Allah Maha Pengampun dan Maha menerima Taubat walaupun dosa setinggi langit! Bukan menggambarkan agama kita ini penuh ketakutan, yang apabila banyak dosa, ular menunggu di kuburan.

Jika benar asas Islam itu hanya sekadar peristiwa yang pelik-pelik, sudah tentu Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam tidak perlukan 23 tahun untuk menyampaikan risalah. Hanya satu ayat, semua orang terpukau untuk beriman. Namun realiti dakwah Rasulullah tidak begitu. Islam berpijak di bumi yang nyata. Islam tersebar secara berperingkat bermula dari dakwah tersembunyi, kemudian secara terang-terangan. Lalu tersebarlah kemuliaan agama ini kerana ilmu dituntut dan di sampaikan. Manusia mula tertawan kerana akhlak Al-Quran dipraktikkan, Jiwa menjadi lunak kerana jaminan keselamatan buat yang beriman.

Apabila peristiwa bulan terbelah dua mahupun Isra Mikraj dipersendakan sebahagian manusia yang keras hatinya (semoga kita termasuk orang-orang yang beriman), dan baginda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam pula dituduh sebagai ahli sihir dan orang gila, lalu apakah bukti kebenaran Islam yang berbaki, yang akan terus menerus menjadi bukti keagungan agama ini hingga ke akhir zaman?

c
Al-Quranul Kareem. Itulah jawapannya. Tiada keraguan terhadapnya. Menjadi hidayah buat mereka yang mencari hidayah. Menjadi penenang bagi hati-hati yang gusar. (Bukan sekadar penghalau hantu di saat perlu, juga bukan sekadar air tiup-tiupan untuk orang kan periksa).

Sebarkanlah Ayat-ayat Tuhan. Berikan keseimbangan di antara berita-berita yang menggembirakan mahupun ayat-ayat peringatan. Elakkanlah hadith-hadith palsu daripada menjadi sandaran. Gunakanlah logik akal dan keterangan hati untuk menilai adakah sesuatu gambar atau cerita itu layak dijadikan hujah kebenaran Islam. Sudah-sudahlah dengan cerita tahayul yang menyebabkan manusia berputus asa untuk memohon keampunan Tuhan.

Al-Quran dan segala isinya, merupakan sebuah keajaiban yang hanya boleh dirasai oleh hati-hati yang sentiasa bertadabbur. Jiwa yang mati pula seolah-olah dihidupkan semula oleh sentuhan kalam Suci Ilahi. Sebuah jawapan pasti buat yang masih tercari-cari: Siapakah yang layak disembah di dalam kehidupan yang fana ini?

dm,nbd

Friday 3 January 2014

Cerita Cawan: Customer Service DLL


A
Dalam kita berbangga dengan kesantunan yang turun-temurun kita warisi, sikap memberontak dalam memberikan layanan semakin menjadi-jadi. Tidak seperti yang digambarkan di sana-sini -bersyukur lalu memuji- padahal realiti sebenar amat menyedihkan, dewasa ini.

B
Ketika ramai yang sudah menikmati kemajuan hasil disiplin yang tinggi, ada sekelompok manusia baru mengorak langkah memotivasikan diri. Ada juga yang sedang mencari jalan pintas menuju destinasi.

Adapun segelintir manusia, masih lena dibuai mimpi. Di pejabat, di tandas mahupun di rumah, mengkhabarkan aktiviti mikro sehari-hari, tanpa menyedari bahawa mereka merupakan punca pelaburan Negara mendapat rugi.

C
Hari ini, cawan yang ku pegang separuh tak berisi. Semoga esok ia penuh kembali. Insya Allah.

dm, 2014