Tuesday 16 July 2013

1. OBESITI

Assalamu alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
Bismillahirrahmanirrahim

Belum lama ani negara kitani baru saja selesai menyambut majlis ilmu. Tema tahun ani: Nikmat Kesihatan Asas Kesejahteraan memang bertepatan untuk dijadikan renungan.

Sihat atu nikmat paling berharga. Dengannya, kitani boleh buat apa saja. Gunung yang tinggi pun boleh didaki kalau badan tegap dan berstamina. Tapi mun inda sihat atu, duit berpuluh ribu sekalipun, inda jua dapat dinikmati untuk melihat keindahan dunia ciptaan Allah ani.

OBESITI antara isu kesihatan yang paling lumrah kitani bincangkan di negara ani. Berlalu sudah zaman di mana perut buncit atu dianggap seksi ataupun menarik hati. Sekarang, sebut saja isu gemuk, pasti remaja lah yang paling ingau dan sensitif mendengarnya. Kalau sudah naik muda, remaja lelaki yang berbadan berisi, akan mula mencari jalan supaya badannya semakin kurus dan punya six pack. Mungkin ingin memiliki otot kencang seperti pemain bola sepak kegemarannya –katanya-. Kalau yang perempuan pula, baru dikomen makin berisi sedikit, sudah tia berusik hati, dan ada yang akan mula mencari di laman sesawang, kalau-kalau ada krim pembakar lemak yang berjaya merampingkan tubuh dengan cepat. Saya hanya tersenyum melihat kawan-kawan berlumba membeli krim sauna baru. Dalam hati saya berkata, ‘inda jua mengalahkan senaman sama diet seimbang’. Jalan pintas menjadi pilihan walaupun hakikatnya bukan lemak yang dibakar oleh krim itu. Keberkesanannya belum dapat dibuktikan secara saintifik. Sebenarnya cuma cecair yang dikeluarkan dari tubuh supaya nampak kempis sikit perut yang bertingkat.

Remaja bahkan belia dan beliau, berlumba-lumba untuk menguruskan badan, tapi untuk apa tujuan kan kurus atu, nya orang intek lama: tepuk dada tanyalah  iman. Kalau tujuan kan menghapus obesiti atu hanya kerana kan menarik perhatian yang berlawanan jenis contohnya, pasti kemungkinan untuk mengambil jalan pintas campur bahaya lebih tinggi. Ini terjadi mungkin kerana terlalu terpengaruh dengan standard “kegemukan” yang ditetapkan oleh media contohnya hollywood, yang menggambarkan orang berisi sebagai gemuk dan orang cangkir sebagai normal kurus. Persepsi masyarakat juga tidak banyak membantu. Tidak jarang kita dengar double standard yang diberikan kepada manusia mengikut saiz tubuhnya.

Adapun kalau yang tujuan kan kurus atu untuk menjaga kesihatan semata-mata, pasti akan berhati-hati dalam memilih jalan. Mana tidaknya, tubuh badan ani adalah amanah dari Allah, kalau kesihatan dijaga, akan bertambahlah tenaga dan dengan bertambahnya tenaga, akan bersemangatlah lagi kitani melakukan ibadah kepada Allah Ta’ala. Bagi golongan ini, gemuk sedikit tidak mengapa, asal bebas daripada penyakit berbahaya.

Kalau difikir-fikirkan, keinginan untuk kurus ani memang menyiksakan. Segala macam cara dicuba, yang berjaya atu, gambar sebelum dan selepas pun akan dipost di facebook, yang tidak berjaya, terus mencari jalan. Tidak kurang juga yang putus asa kerana berat badan inda mau turun-turun. Ani yang menurut sebahagian besar kajian kesihatan, terjadi disebabkan oleh pelbagai faktor. Antaranya genetik, pola makanan berlebihan, malas bersukan, dan faktor persekitaran.

Inda jua dapat dinafikan semua orang mahu kelihatan kacak dan menawan. Inda dapat dinafikan jua yang badan sihat atu kunci kepada segala permulaan yang baik: iaitu bagi yang memanfaatkan kesihatan atu untuk ibadah. Ibadah yang saya maksudkan bukan ganya zikir tunggak langgak sampai ada tanda hitam di dahi seperti fahaman sebilangan orang, tapi ibadah ani sebenarnya apa pun amalan yang kita lakukan sambil mengingat Allah. Kesemua itu juga boleh dikatakan sebagai ibadah. Sedangkan dalam hadith Rasulullahi Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam sendiri menyatakan:

“Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah.” (HR. Muslim)

Sebelum berfikir untuk senaman 5 kali seminggu secara ketat dan berjadual, tanya dulu diri sendiri, adakah senaman terapi jiwa iaitu aerobik solat 5 waktu sudah dikerjakan tepat pada waktunya? Kesihatan fizikal itu penting, tapi kesihatan spiritual atu lebih lagi teramat pentingnya. Berapa ramai orang yang berolahraga hanya untuk kurus dan hanya kurus yang diperolehinya, dan berapa ramai pula yang berolah raga kerana menjaga tubuh badan amanah Allah dan Allah memberinya ganjaran kesihatan dan keberkatan kerana tulus niatnya?

Ada banyak cara mengelakkan obesiti, jika Al-Quran dan sunnah tekun diikuti, tanpa menolak alternatif kontemporari, Insya Allah segala penyakit dapat dihindari dan ibadat pula menjadi lebih berkualiti.

dm, 2012

No comments:

Post a Comment