Friday 19 July 2013

8. ADAB BERSAMA PEMBANTU RUMAH

Assalamu alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
Bismillahirrahmanirrahim
Anak Jadi 'Boss'

“Bibi, dari tadi ku memanggil kau, inda mendangar kah”, begitulah kedengaran seorang kanak-kanak yang dari kecil sudah pandai mengolah-olahkan pembantu rumah. Kadang-kadang yang basar sedikit atu bila ada siaran bola, sudah masuk jam 12 pun masih mengetuk pintu si bibi untuk minta masakkan mee segera ataupun membuat minuman panas.

Begitulah ragam kebanyakan anak-anak kitani bila berkomunikasi dengan pembantu rumah. Di mana kedua ibu bapa anak-anak yang seharusnya mendidik anak tentang adab terhadap pembantu rumah dan adab menghormati orang lain? Ataukah, ibu bapa tidak mampu mengajar anak nilai-nilai murni ini kerana ternyata merekalah yang ‘mengulukan’ sikap seperti ini? Jika tidak dikawal, fenomena ini akan berlarutan sehingga anak-anak masuk ke alam remaja.

Islam Sekadar Feqh Ibadat?

Adakah kita mengira bahawa Islam ini hanyalah mencakupi ilmu feqh ibadat semata-mata sehingga kita terlepas pandang nilai-nilai akhlak yang harus dilentur dari rebungnya? Siang malam kita mengajar anak-anak kecil cara solat yang sempurna, ditekan juga supaya si kecil menghafal ayat-ayat panjang sebelum cukup umurnya, tetapi akhlak? Sesungguhnya ini bukanlah sebuah penafian terhadap kemuliaan tarbiyah ibadat, tetapi dicadangkan agar ibu bapa tidak lupa memfokuskan juga kepada pendidikan akhlak anak-anak agar pandai menghargai perasaan manusia.

Berbalik kepada isu pembantu rumah, pemulis ingin membawa remaja untuk melihat betapa syumulnya ajaran Islam itu, sehinggakan adab-adab bersama pembantu rumah pun turut diajarkan dan diterjemahkan dari sabda-sabda Rasulullahi Sallallahu Alaihi Wasallam kepada perbuatan baginda. Di dalam Islam pembantu rumah mempunyai hak asasi yang terpelihara. Hak untuk beristirehat, hak untuk beribadah, hak untuk menerima gaji, hak untuk diberi makanan dan pakaian seperti yang biasanya dipakai oleh se isi kelurga majikan.

Penulis teringat, pernah dulu ketika menghadiri satu majlis, kelihatan seorang perempuan sekitar hujung 30-an, mengenakan pakaian putih seperti pengawal keselamatan. Bila dirisik-risik dan ditanya-tanya, rupanya atu pakaian uniform nya sebagai seorang pembantu rumah. Difikirkan secara logik, kalau pekerja hanya seorang, apatah motif memberikannya pakaian seragam?

Hadith Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam

  • Imam Al-Bukhari meriwayatkan di dalam sahihnya sabda Rasulullah Salallahu Alaihi Wasallam yang bermaksud:


"Jika datang pembantumu untuk menghantar makanan, maka hendaklah dipelawanya untuk makan bersama, jika dia enggan, maka hendaklah diberikan kepadanya sebahagian untuk dimakannya."

  • Di dalam riwayat Imam Muslim pula, Rasulullahi Salallahu Alaihi Wasallam bersabda:


"Mereka adalah saudara kalian, Allah menjadikannya di bawah kendali kalian, maka berikanlah kepada mereka makanan sebagaimana yang kalian makan. Berikanlah mereka pakaian seperti yang kalian pakai. Dan jangan kalian sekali-kali menyuruh sesuatu di luar batas kemampuannya. Dan bila kalian menyuruh sesuatu, bantulah pekerjaannya semampu kalian." (HR Muslim)

Santunnya Melayu Brunei

Penulis yakin, kita orang Melayu Brunei sangat kaya dengan budi pekerti dan santun yang mulia. Tidaklah pernah terdengar di hawa telinga kalau-kalau ada majikan yang tega mengali-alikan makanan untuk dimakan oleh pembantu rumahnya sampai membelikan stok makanan kurang gizi untuk alas perut sehari-hari.

Perlu diingat pembantu rumah in bukan budak yang kita beli, mereka datang untuk bekerja seperti mana ayah dan ibu adik-adik saban hari mencari rezeki yang halal. Ya, walaupun pada hakikatnya pembantu rumah bukanlah hamba sahaya, adakah suatu kebetulan bahawa perkataan ‘amah’ yang sering kita gunakan itu juga berasal dari bahasa Arab ‘Amatun’ bererti “hamba perempuan”? Menarik bukan?

Satu lagi contoh kesantunan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam terhadap pembantu rumah ternukil di dalam sebuah hadith riwayat Muslim, Anas bin Malik Radiyallahu Anhu menggambarkan bahawa selama sepuluh tahun dia menjadi pembantu di rumah Rasulullah, dia tidak pernah dikasari samada dalam perkataan atau perbuatan. Tidak pernah Rasullullah menegur : Mengapa kamu melakukan ini?!

Allah Hanya Memandang Taqwa

Kita harus sentiasa ingat bahawa kedudukan kita di sisi Allah diukur berlandaskan taqwa, bukan siapa beri gaji dan makan gajinya. Jika kita bertaqwa terhadap Allah, mana mungkin kita punya secebis rasa kesombongan untuk berlaku tidak adil kepada makhluk ciptaan-Nya? Juga jika kita bertaqwa terhadap-Nya, mana mungkin pula kita berani menganggap pembantu rumah kita itu sama saja seperti mahram kita. Jika benar kita ingin memuliakan kedudukan kita, maka di sudut inilah selayaknya kita menjaga martabat kita. 

Alhamdulillah dengan pendidikan Islam yang semakin kuat di negara kita, ramai majikan yang mulai sedar kepentingan menjaga aurat diri dan keluarga, juga melindungi maruah pembantu rumah dengan turut menasihatinya agar melakukan perkara yang sama.

Jika kita ingin terus berbangga dengan ideologi Melayu Islam Beraja, kita harus sama-sama bermuhasabah dan mendidik diri agar mencontohi Rasul Pilihan, dalam memenuhi hak setiap insan.

Remaja berakhlak Remaja kebanggaan.

dm, 2012


No comments:

Post a Comment