Friday 19 July 2013

11: KASIH PADA HAIWAN

Assalamu alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
Bismillahirrahmanirrahim
Renung Cipta

Kita merenung cipta kehidupan kita ini. Allah menciptakan bumi yang subur dengan tanaman, manusia dan haiwan, dan manusia dilantik sebagai pentadbir alam dengan akalnya yang cerdas dan kepintarannya berbahasa dan berbicara.

Lalu kedengaran seorang wanita usia 30-an mengeluh tentang haiwan peliharaannya:

“Kucing ku ani kan ku buang di pasar, bebau sudah rumah ani, di tambah lagi ia makin beranak pinak ani payah kan mengelinga”

Suatu ketika dahulu, ketika kucing itu masih kecil dan comel, berebut-rebut ingin memiliki dan membelainya, kemudian hari demi hari, komitmen mula berkurangan dan haiwan peliharaan dilepaskan, dianggap bebanan dan dibiarkan mengemis mencari makanan di rumah orang lain.

Neraka Buat Yang Zalim

Dari ‘Abdullah, bahwasanya Rasulullah SAW bersabda:

"Seorang wanita disiksa karena seekor kucing yang dia mengurungnya sampai mati, maka ia masuk neraka karena kucing itu. Ia mengurungnya dan tidak memberinya makan dan minum, dan tidak pula dia melepaskannya sehingga ia boleh makan serangga-serangga bumi". (Hadith Riwayat Al-Imam Muslim).

Ada lagi jua dikalangan kita bila ada sisa-sisa makanan yang boleh diberikan kepada haiwan atu marah-marah tia pulang, nya:

“Daripada ku membagi makan haiwan, baik ku membagi makan manusia”, sambil membuang terus makanan itu ke tong sampah.

Wajarkah manusia, bila dilantik menjadi khalifah Allah di muka bumi ini, kurang pula rasa syukurnya dan bertambah pula rasa sombongnya menganggap dunia ini hanya milik insan semata? Adakah hanya kerana risalah Islam diturunkan kepada golongan manusia, kita boleh berlaku kejam kepada haiwan? Ini nyata sekali bertentangan dengan wahyu Ilahi di dalam surah Ar-Rahman ayat 10 yang menjelaskan bahawa bumi ini dibentangkan untuk sekalian makhluk-Nya.

Syurga Buat Yang Kasih

Kita tidak tahu, jika setitis dua air yang kita sedekahkan kepada haiwan yang kehausan - dengan mengharapkan keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan maghfirah-Nya – boleh menjadi penyelamat kita daripada bara api neraka. Kita tidak terfikir pun bahawa sekeping roti yang kita berikan kepada haiwan yang kelaparan itu bahkan lebih besar ganjarannya di sisi Allah berbanding duit sepuluh ribu yang kita sedekahkan kepada  manusia dengan mengharapkan pujian dan sanjungan insan semata.

Ada sebuah kisah yang menarik yang di ceritakan di dalam sebuah hadith Rasulullahi Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam yang sahih:

“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).

Mentaliti Masyarakat

Sering terjadi di kalangan masyarakat kita, bilamana tuan rumah yang bukan beragama Islam memiliki anjing peliharaan, kita merasa kurang selesa bertandang kerumahnya apabila dijemput. Alasan kita kerana najis, jijik, was-was dan sebagainya.

Sesungguhnya Islam bukan menyuruh kita bersikap melampau konon-konon untuk menjaga kesucian badan kita sehingga menyebabkan imej Islam pula tercemar dengan menggambarkannya sebagai agama yang tidak menyayangi haiwan.Badan boleh dibersihkan, tapi gambaran yang salah tentang kelunakan ajaran Islam, bagaimana kita akan membersihkannya semula? Janganlah kerana ketaksuban kita, dakwah Islam terbantut kerana hal yang remeh temeh.

Islam Memberi Panduan

Islam memberikan kita garis pandu yang lengkap dalam menjalani kehidupan. Ada banyak nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah yang menekankan kedudukan haiwan dan akhlak kita dalam mengasihi makhluk yang tidak berbicara ini.

Samada haiwan peliharaan atau bukan, kesemuanya seharusnya dilayan dengan rasa hormat, belas kasihan dan bertamadun. Apa yang menyedihkan kita, kepentingan menjaga hak haiwan ini masih dianggap remeh, dan banyak yang berselindung atas nama agama sebagai satu tiket untuk mendiskriminasi hak haiwan.

Aspirasi

Penulis mencadangkan agar pendidikan asas dalam ibadat seperti taharah perlu diselaraskan dengan pendidikan akhlak yang lebih meluas merangkumi akhlak manusia terhadap haiwan. Jangan sampai kita berterusan dalam kejahilan dan kekeliruan, membudayakan sesuatu yang kita anggap boleh mendekatkan diri kita kepada agama, padahal akhlak Islam mengajarkan kita sebaliknya.

Para sahabat bertanya:

“Ya Rasulullah, apakah kita mendapat pahala dalam menolong haiwan?”. Rasulullah SAW bersabda,“Menolong pada setiap yang bernyawa itu berpahala”. (Hadith Riwayat Al-Imam Muslim).

Remaja Zikir, menghargai setiap kejadian, merenung segala ciptaan & membesarkan keagungan Khaliqur-Rahman.
dm 2012

No comments:

Post a Comment