Friday 19 July 2013

10: SAHABAT JUNJUNGAN MODAL INSAN

Assalamu alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
Bismillahirrahmanirrahim
Modal Insan

Kalaulah ditanya kepada remaja tentang siapakah role-model atau modal insan yang remaja gemari, siapakah susuk manusia yang tergambar dalam fikiran?

Remaja membesar dikelilingi oleh kelompok dewasa seperti ayah, ibu, kakak dan abang, yang kesemuanya sepatutnya menjadi contoh yang baik buat yang lebih muda. Malang sekali buat remaja yang berada di dalam institusi keluarga yang pincang, yang lebih tua tidak mampu membentuk peribadi atau nilai mulia dalam  diri anak muda sehingga mereka cenderung untuk mencontohi orang-orang yang salah.

Sean Covey di dalam bukunya The 7 habits Of highly Effective Teenagers menjelaskan:

"Apa yang menakutkan ialah tabiat buruk orang tua berpotensi besar untuk diwarisi oleh anak-anak. Jika ayah merupakan seorang kaki pukul, anak punya potensi untuk menjadi seorang kaki pukul pula. Kitaran ini berterusan dari satu generasi ke generasi yang lain. Jika remaja tidak punya keazaman untuk memainkan peranannya sebagai ejen perubahan, mereka akan terus mewarisi tabiat ini yang seakan-akan sebuah sumpahan".

Artis Menjadi Pujaan

Realiti hari ini, remaja lebih gemar untuk menjadikan artis-artis sebagai pujaan hati mereka. Dari cara berpakaian hinggalah cara bergaul, semua hendak diikuti. Tidaklah kita nafikan ada beberapa nilai-nilai yang baik dalam diri artis yang boleh kita contohi seperti ketekunan dan kerja keras yang akhirnya menempah kejayaan. Tetapi amat menyedihkan bilamana kita sebagai seorang remaja Islam terlepas pandang terhadap personaliti atau bintang-bintang islam yang dihasilkan dengan didikan Rasulullahi Salallahu Alaihi Wa Sallam sendiri.

Pada episod-episod yang telah lalu kita telah membincangkan tentang 10 Muwasofat At-Tarbiyah sebagai panduan untuk meningkatkan kualiti diri. Dalam kita ingin melakukan perubahan, adalah amat penting bagi kita memiliki role model atau modal insan untuk dijadikan ikutan.

Cintai Sahabat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam

Sejarah Islam mencatatkan penghijrahan para sahabat Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam dari kekufuran kepada hidayah islam bukanlah berlaku sendirinya tanpa bimbingan atau panduan. Kerana itu eloklah kita menyingkap kembali lembaran sejarah dan melihat personaliti sahabat-sahabat rasulullah yang pelbagai sikap dan ragam. Percayalah, setelah membaca sirah-sirah para sahabat Rasulullah ini, pasti remaja akan punya kecenderungan terhadap salah seorang sahabat berbanding yang lain.

Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq

Sayyidina Abu Bakar Radiyallahu ‘Anhu merupakan seorang sahabat yang sangat setia dan berani, mempunyai integriti yang amat tinggi dan sangat berhati-hati dalam menguruskan wang milik baitul mal. Personaliti beliau ialah sangat setia dan taat atas apa yang diturunkan oleh Alah Subhanahu Wata’ala terhadap Nabi Sallallahu Alaihi Wa Sallam tanpa banyak soal. Beliau juga cenderung mementingkan keperluan orang lain sebelum dirinya sendiri. Sayyidina Abu Bakar Sangat dermawan sehingga Sayyidina Umar sendiri tidak mampu menandinginya dalam hal menafkahkan seluruh harta di jalan Allah.

Sayyidina Umar Al-Khattab Al-Farouq

Jika Sayyidina Abu Bakar terkenal dengan kesetiaan-Nya kepada Rasulullah tanpa banyak soal, Sayyidina Umar pula merupakan seorang yang sangat terkenal dengan keberaniannya menyuarakan pandangan yang berbeza kepada Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam. Bukan bermaksud beliau melawan pandangan Baginda, namun itu membuktikan betapa Islam amat terbuka terhadap kebebasan bersuara dan berpendapat  selagimana tidak bertentangan dengan nas-nas Al-Quran dan As-Sunnah.

Inovasi dan reformasi yang dilakukan oleh Sayyidina Umar pada zaman pemerintahannya juga melambangkan kecerdasannya dalam membangunkan umat. Uniknya Umar, kekerasannya digunakan untuk membela kalimatullah manakala kelembutan hatinya terserlah bila melayan keinginan dan hak rakyat yang merupakan amanah buat dirinya.

Setiap sahabat Rasulullah mempunyai keunikan yang tersendiri. Cuba kita renungkan kehidupan kita bersama dengan sahabat atau adik beradik, pasti kita akan melihat diversiti personaliti. Si kakak mungkin pemarah tetapi dari sisi lain, dia seorang yang pengasihan dan bertimbang rasa. Di kalangan teman-teman pula ada yang pendiam, ada yang peramah, ada yang nakal dan sebagainya, kesemuanya saling melengkapi dan menguatkan antara satu dengan yang lain.

Sayyidina Uthman Zun-Nurayn

Uniknya Sayidina Uthman pula terletak pada sifatnya yang pemalu dan lemah lembut, namun itu tidak pula menandakan bahawa Sayidina Uthman tidak punya pendirian kerana beliau sangat teguh mempertahankan syiar Islam, dan turut ikut serta hampir seluruh peperangan bersama Rasulullah. Ibnu Asakir meriwayatkan dari Abdurrahman bin Mahdi dia berkata:

“Dua sifat yang dimiliki oleh Uthman dan tdak dimiliki oleh Abu Bakar mahupun umar iaitu kesabarannya masa dikepung hingga ia terbunuh serta penghimpunan mushaf Al-Quran dalam bentuknyua sekarang”.

Remaja yang budiman , janganlah bersedih hati jika merasa diri hilang arah dan pedoman. Atau tidak tahu siapa yang harus dijadikan ikutan. Rasulullahi Sallahu Alaihi Wa Sallam semulia-mulia modal insan, dan para sahabat baginda pula sangat layak untuk dijadikan panduan. Ketepikan seketika majalah artis kegemaran. Buka sirah Rasulullah dan sahabat, semoga meresap dalam jiwa nilai-nilai warisan islam yang ditonjolkan, dalam perlakuan, pergaulan juga persahabatan.

Penulis memilih Sayidina Umar sebagai modal pilihan, lalu bagaimana pula dengan remaja sekalian?
dm, 2012

No comments:

Post a Comment