Wednesday 17 July 2013

6. MASJID

Assalamu alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
Bismillahirrahmanirrahim
Suramnya Masjid

Penulis duduk sendirian di penjuru masjid. Keadaan masjid begitu lengang, dan hanya sesekali terlihat beberapa orang muslimah singgah untuk menunaikan solat fardhu secara bersendirian. Kadang-kadang ada juga pelancong yang datang melihat suasana masjid kita. Ada yang berbaring di dalam masjid, namun terlihat hanya melafazkan kata-kata zikrullah. Saudari yang duduk bersebelahan langsung tidak disapa. Senyum pun tidak, apatahlagi tertawa. Timbul rasa kecewa melihat kesuraman yang memenuhi suasana lalu segera bertanya kepada diri sendiri, apakah berbual sedikit tentang keduniaan itu dibolehkan di dalam masjid, jika itu dapat memberi manfaat kepada kemesraan silaturahim sesama manusia?

Ada jua tu jenis jemaah yang bila meliat orang berbual, tarus ditantang seperti kan menelan. Di dalam hatinya rasa bangga dia seorang saja yang diam, namun tanpa disedari timbul rasa riya kerana merasa diri sangat sempurna dengan disiplin yang direka-reka. Ataupun terpengaruh dengan hadith-hadith palsu berkenaan adab masjid, antaranya hadis yang melarang bercakap urusan dunia di dalam masjid, berbunyi:

Sesiapa yang bercakap di dalam masjid dari urusan dunia, Allah akan menghapuskan semua amalannya selama 40 tahun”.

Imam al-Syaukani berkata: Hadis ini merupakan hadis maudu’ iaitu palsu.

Indahnya Islam

Indahnya Islam, yang sebenarnya lebih terbuka dan lebih toleransi daripada sesetengah persepsi yang kita pegang selama ini. Imam Nawawi berkata, harus bagi seseorang untuk berbual tentang perkara-perkara yang diharuskan termasuk urusan dunia di dalam masjid, walaupun ia mencetuskan anekdot yang lucu dan membuat kita tersenyum, sepertimana yang terjadi di zaman Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa Sallam yang ada di sebutkan di dalam Riwayat Muslim.

Kuncinya adalah akal dan adab. Bilamana kita punya akal dan adab, kita akan mampu berfikir dan menyesuaikan diri mengikut keadaan, maka selagimana bentuk perbualan kita itu tidak sampai mengganggu orang lain yang sedang khusyuk bersolat, dan selagimana ia tidak terkandung unsur-unsur haram seperti mengumpat dan menfitnah, maka alangkah baiknya jika sebuah persahabatan itu bermula di rumah Allah.

Jurnal Musafir

Belum berapa lama, penulis sempat merantau ke Malaysia dan Singapura. Keadaan jemaah masjid hampir sama dengan apa yang dapat disaksikan di negara kita, walaupun nampaknya Jabatan Masjid di negara-negara ini sudah kelihatan progresif dalam menarik anak-anak muda pergi ke masjid. Dibukakan perpustakaan di tempat yang terbuka di satu ruang luas di dalam masjid, juga ada kedai buku Islam, juga restoran tempat manusia bersemuka. Bukan bertujuan untuk mencemarkan peranan institusi masjid sebagai sebuah tempat peribadatan, tetapi lebih kepada mengembalikan ataupun menerapkan semula peranan masjid yang sebenarnya diamalkan di zaman Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam.

Secara umumnya, di mana-mana negara anggota MABIMS, barisan saf jemaah pastinya dimonopoli oleh golongan tua dan “beliau”, dan sedikit sekali kanak-kanak yang ditarbiyah untuk sama-sama memakmurkan masjid.

Remaja? Ya, apatahlagi remaja, bukan tidak ada langsung yang berkunjung, cuma mungkin lebih ramai yang memilih untuk lepak bersama kawan-kawan di gedung-gedung perniagaan dan sebagainya. Ada surau di kedai pebaik, inda ramai yang tekarih menunaikan kewajiban si sana.

Masjid & Ukhuwah

Andai saja para remaja melihat masjid itu sebagai satu tempat terjalinnya ukhuwah, pasti aktiviti lepak di mall boleh bertukar menjadi lepak di masjid. Lepak di sini bukan bermaksud lepak tidak berfaedah, tetapi bersosial secara matang dan mengikut lunas-lunas Islam. Perkhidmatan wi-fi juga mungkin satu idea yang baik untuk menarik remaja belajar di masjid. Punca kenapa ramai remaja kurang tertarik kepada masjid harus dikaji semula.

Masjid Memeduli Masyarakat

Mengambil manfaat daripada pemerhatian yang dalam, penulis merasa amat kagum dengan persatuan belia Masjid al-Falah Singapura. Mereka bukan saja mengendalikan aktiviti berbentuk keagamaan, tetapi juga meluaskan lagi peranan dengan mewujudkan perkhidmatan kaunseling buat remaja-remaja yang bermasalah, juga program jati diri termasuk sukan dan lawatan keluar melangkaui sekadar aktiviti di dalam kawasan masjid. Mereka punya pegawai-pegawai yang sangat bijak memikat hati remaja, dan berkomunikasi dengan mereka sesuai jiwa remaja yang riang dan ingin diberikan perhatian.

Walaubagaimanapun, kita amat memuji aktiviti-aktiviti yang sudah giat dilaksanakan di masjid-masjid di negara kita, contohnya saja program kursus IT yang menjadi keperluan asas remaja di zaman globalisasi ini, semoga akan diperluaskan lagi skop penyebaran ilmu duniawi dan ukhrawi setentunya di rumah Ilahi.

Aspirasi

Kita menyeru pihak-pihak yang berkenaan juga masyarakat secara umumnya untuk sama-sama bermuhasabah tentang cara untuk menjadikan masjid ini lebih popular sebagai kunjungan semua lapisan masyarakat Islam terutama remaja. Adalah merupakan suatu cabaran bagi NGO-NGO seperti persatuan-persatuanbelia yang ada di negara ini termasuklah belia-belia masjid untuk sama-sama duduk semeja, bergabung idea dan strategi untuk memakmurkan masjid sebagai sebuah pusat kegiatan aktiviti yang mampu membentuk sahsiah remaja yang serba boleh dalam urusan duniawi dan ukhrawi. Kerana hakikatnya, segala aktiviti duniawi itu jika dimasukkan unsur-unsur tazkirah, zikir dan fikir, akan menjadikannya coraknya cenderung ukhrawi pula.

Penulis mengaspirasikan sesuatu yang segar seperti kewujudan kelab boling belia masjid, karnival bakat Islami, atau kompleks sukan masjid, atau perlantikan pegawai pembangunan remaja yang khas bertugas untuk menarik belia untuk pergi ke masjid, juga anggota penceramah-penceramah yang memberi kuliah ‘remaja-friendly’ di masjid, sesuai dengan konteks negara sebagai Melayu Islam Beraja yang bergagasan Zikrullah.

Solat itu tiang agama.  Masjid itu kebanggaan negara. Remaja yang cenderung kepada Rumah Allah pula adalah sebagai sebuah jaminan wujudnya belia harapan yang menegakkan syiar Islam di masa hadapan kelak.

Remaja Zikir, Remaja Fikir.


dm, 2012

No comments:

Post a Comment