Thursday 25 July 2013

12. MENGENANG KELAHIRAN RASULULLAH SALLALLAHU 'ALAIHI WA SALLAM

 Assalamu alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
Bismillahirrahmanirrahim
Da’wah Rasulullah Penuh Duri

Lautan mana yang tidak bergelora, bumi mana yang tak ditimpa hujan. Begitulah apabila kita duduk merenung perjalanan hayat kekasih Allah, junjungan besar kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Ramai orang yang berfikir, bahawa orang yang dikasihi Allah itu ialah orang yang selalu diberi nikmat dan kesenangan, manakala orang yang diberi dugaan itu merupakan orang yang mendapat bala kerana kemarahan Tuhan. Namun ironinya tidak sebegitu rupa.

Jika kita benar-benar menelusuri kisah perjalanan da’wah Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, kita akan melihat betapa perit dan menyayat hati sejarah hidup baginda tatkala Baginda melalui peristiwa demi peristiwa yang menyakitkan. Namun segala dugaan ini hanya menambahkan lagi keazaman Baginda untuk melaksanakan misi da’wah.

Hasilnya dapat kita lihat hari ini, umat Islam mengenang jasa Baginda Sallallahu ‘Alaihi Wasallam dengan konsep zikir yang pelbagai. Samada melalui hati yang merindukan Baginda, mahupun ungkapan kata-kata memuji kemuliaan Baginda, juga perbuatan dengan mengikuti segala sunnah ajaran Baginda.

Maulidur Rasul Di Brunei

Di Negara Brunei Darussalam, tarikh kelahiran Rasulullahi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam disambut setiap tahun. Menjelang hari kebesaran ini, Kedengaranlah bunyi alunan Dikir Syarafil Anam bergema di masjid-masjid setelah solat Maghrib dan juga ‘Isya - sebuah kesempatan untuk umat Islam berkumpul bersama - tahap kemeriahan jemaah masjid yang mungkin kedua terbesar setelah bulan Ramadhan. Irama zikir yang diwarisi turun temurun ini bukan saja melambangkan identiti kemelayuan, keislaman dan keberajaan kita di negara ini, tetapi ia juga menunjukkan betapa halus dan indahnya seni Islam yang kita miliki.

Kenapa Zikir Kurang Penghayatan?

Persoalannya, adakah kita benar-benar sudah menghayati erti kandungan zikir ini, ataukah ia semata-mata hanya lontaran suara dari kerongkong sahaja, berteriak sahut menyahut tanpa memahami apa yang dilaung-laungkan? Kalaulah kita benar-benar faham apa erti di sebalik Assalamu ‘Alaika  Zainal Anbiya’i, kita tidak akan menyanyikannya dengan ala kadar seperti kanak-kanak kecil yang iski tanpa sebab ataupun dengan alunan melandih seperti memain-mainkannya pula.

Bayangkan bila kita menyanyi untuk kekasih, adakah kita kan mengungkapkan lirik “Aku cinta padamu”, secara sambil lewa?

Kita sering rasa kagum melihat betapa kaum Nasrani menghayati lagu-lagu dalam upacara keagamaan mereka di gereja, dan saya cukup yakin, kalau kita memiliki penghayatan yang sama dalam zikir syarafil anam ini, kita akan mampu menghasilkan kemerduan yang kolektif, yang membisikkan ketenangan dan kesyahduan hati saat memuji baginda. Semoga niat yang baik akan mendapat keberkatan dan ganjaran yang baik daripada Allah Subhanahu Wa Ta’ala jua.

Cinta Tidak Cukup “Wish Birthday”

Sesungguhnya mencintai Rasulullahi Sallallahu ‘Alaihi Wasallam tidak cukup hanya dengan mengingati tarikh lahir Baginda, ataukah hanya dengan Dikir Syarafil Anam mahupun perarakan besar-besaran yang diadakan saban tahun. Buat adik-adik yang masih belajar pula, tidak cukup mengenali Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam hanya dengan menghafal tarikh lahir Baginda dan fakta sejarah hidup Baginda supaya lulus dalam peperiksaan Tarikh Islam nanti. Jangan sampai sudah abis periksa, ditanya bila nabi lahir, semua ingat-ingat lupa, terutama tahun mashinya, seorang menjawab lain, yang seorang lagi tegiling-giling.

Buat yang rajin ber-facebook pula, mencintai Rasul tidak cukup hanya sekadar tekan ‘like’ pada gambar tulisan ‘Muhammad’, juga tidak hanya sekadar copy paste hadith-hadith yang belum tentu asal-usulnya, konon-kononnya untuk menunjukkan rasa cinta kita kepada Baginda.

Amanah Dalam Menyebarkan Hadith

Perlu diingatkan bersama, bilamana kita menyandarkan sesuatu kata-kata itu kepada Rasulullahi Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam, adalah menjadi kewajiban kita untuk memastikan kesahihan hadith tersebut dan menyebutkan pula sumbernya yakni periwayatnya. Paling selamat adalah untuk mengambil koleksi hadith Kitab Sahih Bukhari dan Muslim. Jangan terlalu taksub ingin diri nampak hebat dengan dalil-dalil hadith tapi rupanya ia hadith palsu. Tidak halal untuk kita menabak-nabak mengatakan sesuatu kalam itu daripada Rasulullah walaupun intipati katanya berunsurkan nasihat dan pedoman.

Marahlah Dengan Bijak

Hari ini Umat Islam marah bila ada filem-filem dan karikatur yang berunsur penghinaan kepada Rasullullahi Sallallahu Alaihi Wasallam. Ya, sebagai umat yang mengaku kasihkan Baginda, kita wajib menentang segala penghinaan ini. Namun ironinya, bila kita menunjukkan tentangan kita dengan reaksi marah yang tidak bertamadun dan tidak matang. Apalah hasilnya kita membalas penghinaan ini dengan keganasan mahupun sumpah seranah yang tidak berkesudahan? Ia hanya akan menjejaskan imej Islam yang sudah lama tercemar akibat Islamophobia yang dicetuskan musuh Islam. Sedangkan orang Islam sendiri tidak mengamalkan isi kandungan al-Quran secara holistik lantas mengetepikan akhlak Islamiyah yang diajarkan oleh Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam.

Pembelaan yang bijak ialah pembelaan yang bermaruah, contohnya debat ilmiah yang punya hujah-hujah mantap, serta penghasilan artikel-artikel yang menangkis fitnah terhadap Rasulullah, serta produk seni kreatif seperti musik dan filem yang mengajak manusia mengenali siapa Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam dan apakah ajaran yang dibawa olehnya. Sayangnya hari ini, banyak bakat, kreativiti dan kepandaian para remaja yang dibazirkan dengan hasil seni yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada agama, bangsa dan negara.

Cinta Rasul Bukti Cinta Allah

Sebagai renungan: Abdullah bin Mas'ud Radhiyallahu ‘Anhu mengungkapkan:

“Sampai sekarang masih terlintas dalam ingatanku saat Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam mengisahkan seorang Nabi yang dipukul kaumnya hingga berdarah. Nabi tersebut mengusap darah pada wajahnya seraya berdoa: “Ya Allah, ampunilah kaumku kerana mereka kaum yang jahil”. (Muttafaqun 'Alaih).

Sebuah nasihat buat diri sendiri dan kalian, Allah meletakkan syarat bahawa untuk membuktikan kecintaan kita kepada Allah, kita harus terlebih dahulu mengikuti ajaran-ajaran yang dibawakan oleh baginda. Firman Allah Subhanahu Wa Ta’ala yang mafhumnya:

“Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika kamu (wahai manusia benar-benar) mencintai Allah, maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu.” ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah Ali ‘Imran: 31).


Maka akhirnya, apa yang kita harapkan, ingatan kita kepada Junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam tidak hanya di bulan Rabiul Awal akan tetapi berterusan sampai bila-bila. Allahumma Salli 'Ala Muhammad.

dm, 2012

No comments:

Post a Comment