Friday 19 July 2013

7. CUTI PERSEKOLAHAN

Assalamu alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
Bismillahirrahmanirrahim
Welcome Holiday!

Sekarang sudah masuk musim cuti persekolahan. Remaja akan memulakan hari-hari mereka dengan perasaan yang sedikit ‘lapang’ kerana tidak perlu bersiap-siap untuk pergi ke sekolah.

Bagi ramai remaja, ani tah peluang untuk mereka merehatkan minda dan mengalihkan perhatian seketika daripada buku-buku teks dan hutang kerja rumah yang perlu disiapkan dari masa ke semasa. Bagi yang sudah punya perancangan, cuti persekolahan akan menjanjikan pengalaman yang mengujakan, dan bagi yang tidak ada perancangan, bermulalah hari-hari yang penuh kebuntuan, dengan rutin duduk di atas sofa sambil makan mee segera setiap pagi.

Rehat - Bukan 'Shut Down'

Remaja kitani, apa macam? Adakah bateri yang habis atu di cas semula untuk digunakan, ataupun dibiarkan bateri atu habis tanpa berbuat apa-apa?

Andrew McCombe di dalam bukunya Activate Your Life berkata “Badan kita perlukan rehat daripada tekanan kerja” Dia berkata lagi “Kita selalu terlepas pandang kepentingan rehat yang teratur dan relaksasi. Tanpanya badan kita tidak punya ruang untuk pembaikan, pemulihan dan pertumbuhan”.

Masalah remaja kita ialah apabila mereka menganggap bahawa ‘rehat’ di sini bererti tidak melakukan sebarang aktiviti. Kalau alat komputer, diistilahkan "Shut down". Walaupun penulis agak kurang bersetuju dengan kenyataan: “Cuti., cuti jua, buku teks jangan dilupa” seperti yang sering diuar-uarkan oleh ibu bapa dan penjaga, namun biarlah cuti sekolah itu benar-benar cuti daripada memikirkan sekolah. Tidak begitu? Namun itu tidak bermaksud remaja harus hilang arah tanpa merangka pengisian waktu dengan aktiviti-aktiviti yang boleh meningkatkan kualiti diri dan produktiviti.

Rehat itu 'Refresh' & 'Repair'

Alangkah baiknya jika remaja mengambil masa cuti yang panjang ini untuk merehatkan minda dan memperbaharui tenaga yang sudah habis dikerah sepanjang sesi persekolahan. Inilah masanya untuk me-'refresh' dan me-'repair' diri kita secara fizikal, mental dan spiritual: Sebuah persediaan sebelum penggal persekolahan bermula.

Latihan Rohani

Jika sebelum ini remaja sering bangun lewat pada musim cuti, apa kata gunakan kesempatan ini untuk mentarbiyah diri supaya bangun awal untuk solat subuh? Buat yang jarang-jarang membaca al-Quran pada hari-hari biasa, gunakan masa cuti ini sebagai sesi latihan bagi memperkuatkan lagi disiplin kita dalam mendekatkan diri kepada Allah. Tidak perlulah sukatan yang diluar kemampuan, kerana seperti dalam sebuah hadith Rasulullah Sallallahu Alaihi Wa sallam:

“Amalan yang paling disukai Allah, ialah yang konsisten walaupun sedikit.” (Hadith Muttafaqun Alaih)

Menurut sebuah kajian yang termuat di dalam European Journal of Social Psychology terhadap 96 subjek, sebuah tabiat yang cuba disemai akan menjadi tabiat yang automatik apabila kita sampai ke hari yang ke-66. Alangkah baiknya jika remaja dapat merancang apakah tabiat yang ingin disemai supaya kita dapat meng-upgrade atau menaiktaraf diri kita menjadi remaja yang lebih hebat bila sudah masuk penggal baru nanti.

Latihan Mental

Selain latihan rohani, latihan mental juga tidak kurang pentingnya. Jika istilah budaya membaca buku itu kedengaran lapuk, mungkin istilah Budaya Kejar Ilmu lebih relevan. Buku, TV, Radio, Internet atau apa saja gedung ilmu, gunakanlah ia sebagai jalan untuk bersantai sambil-sambil membentuk kecenderungan minat dan mempengaruhi hala tuju remaja di masa akan datang.

Isilah minda dengan pembacaan buku-buku atau blog-blog yang lebih santai atau ilmiah mengikut minat masing-masing. Novel cinta, fiksi, majalah remaja atau artikel-artikel yang berbentuk keagamaan, semuanya boleh membantu meningkatkan ketajaman buah fikiran remaja. Sekarang, segala informasi yang ingin dicari juga sudah berada di hujung jari, hanya tinggal usaha kitani untuk mencari.

Lemak Degil

Jika latihan rohani dan mental sudah dilakukan dan remaja masih merasa bosan dan buntu, mungkin itu satu petanda lemak-lemak dalam badan sudah semakan bertambah dan remaja bolehlah meningkatkan aktiviti fizikal pula. Bersenam bersama adik beradik atau mendaki bukit contohnya. Kalau yang belum ada kereta jangan kan memandai-mandai memandu tanpa lesen, cuba mulakan senaman awda dengan membuat ‘make over’ terhadap bilik tidur. Mungkin mengusai kedudukan perabot bilik supaya lebih segar dan punya aura yang lebih memotivasikan.

Hmm, apa lagi aktiviti lain? Cari kerja sambilan? Ikut program-program belia? Buat persediaan untuk peperiksaan besar tahun depan? Belajar memasak? Menziarahi nenek? Mengasah bakat kreatif dan artistik seperti nyanyian dan penulisan? Berkelah di pantai? Menonton wayang bersama keluarga? Tidak kira secara individu, bersama keluarga mahupun rakan-rakan, masa percutian ini harus remaja manfaatkan.

Perspektif Islam

Islam tidak melarang kita untuk berhibur dan merehatkan diri. Tulislah di atas sekeping kertas apa yang ingin dilakukan esok hari. Biarlah setiap hari percutian adik-adik itu ada santainya, ada disiplinnya, ada hiburannya, dan yang paling penting sekali, ada zikirnya kepada Allah Subhanahu Wa Ta’ala, iaitu zikir lisan, hati dan perbuatan.

Jangan biarkan tiap detik berlalu tanpa ilmu baru, tanpa semangat baru dan tanpa amalan baru yang menjadikan kita insan yang lebih baik dan lebih bermanfaat daripada sebelumnya.

Hadith Rasulullahi Sallallahu Alaihi Wasallam Riwayat At-Tirmizi yang bermaksud:

"Belum lagi kedua kaki seorang hamba bergerak pada hari kiamat, ditanyalah tentang usianya, dihabiskan untuk apa; tentang ilmunya, digunakan untuk mengerjakan apa; tentang hartanya, diperoleh dari mana dan dibelanjakan untuk apa; tentang badannya, digerakkan untuk apa." (HR Tirmidzi)

Ingatlah, Negara kita mengimpikan Remaja yang zikir iaitu remaja yang benar-benar menghayati dan mengamalkan Firman-firman Tuhan di dalam Surah Al-Asr.

Selamat bercuti dan memanfaatkan waktu!

dm, 2012

No comments:

Post a Comment