Wednesday 17 July 2013

5. KONFLIK IBU BAPA & REMAJA: ZIKIR & FIKIR

Assalamu alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
Bismillahirrahmanirrahim
Remaja & Zaman Peralihan

Bercakap tentang kesedihan, tekanan, susah hati dan sebagainya, kita semua sedia maklum, emosi seperti ini paling lumrah dirasai oleh golongan remaja.  Jika kita lihat dari perspektif Islam, remaja yang sudah cukup umur itu digelar “baligh” dan di situ lah titik tolak penerimaan tanggungjawab dan peranan yang baru bagi diri remaja, bukan saja memikul tanggungjawab sebagai hamba Allah dengan melaksanakan segala kewajiban dan meninggalkan kemungkaran, tetapi juga menunaikan amanah terhadap keluarga, pelajaran, bangsa juga negara.

Memandangkan zaman remaja adalah zaman peralihan dari peringkat kanak-kanak ke peringkat seterusnya. ia penuh dengan cabaran dan kekeliruan, menghidangkan 1001 macam tekanan, yang disebabkan oleh perubahan emosi, biologi, fizikal dan mental yang pesat. Antara tekanan yang paling berat buat seorang remaja ialah masalah komunikasi remaja bersama kedua ibu bapa.

Remaja VS Ibu Bapa

Hubungan remaja dan ibu bapa sering menghadapi tekanan dan konflik kerana pada peringkat umur ini, remaja bergelut dengan rasa ingin bebas daripada kongkongan dan rasa ingin difahami dan dihormati serta diiktiraf kedewasaannya. manakala ibu bapa pula ingin mengekalkan autoriti mereka sebagai pemimpin anak-anak bagi membantu melindungi remaja saat melepasi fasa terakhir zaman kanak-kanak.

Tidak jarang sekali remaja akan berselisih pendapat dengan ibu bapa terhadap perkara yang remeh temeh. Dulu semasa kanak-kanak, kitani iski kan bebaju sama, sekayu nya orang, tapi bila sudah masuk peringkat remaja, malu-malu tia kan ijau sama ijau, merah sama merah. Bila indung mengatakan ‘baik tah besama-sama dih’ kitani pun menarik muka muncung dan hati memberontak:

Inda ada orang faham kan aku! Aku suka warna taruk ubi! Indakan semestinya selalu sama!!!”

Apa lagi taruk ubi ani nya remaja? “Taruk ubi” adalah istilah Brunei bagi warna ungu.

Perbezaan Pendapat: Normal

Pasti menyedihkan buat kedua-dua pihak iaitu remaja dan ibu bapa seandainya gagal untuk mengimbangi di antara keegoan masing-masing dan juga kebebasan bersuara. Remaja akan merasa tertindas apabila suaranya tidak didengar manakala ibu bapa pula rasa diderhakai apabila anaknya membantah pandangannya. Adalah sesuatu yang normal bila kita tidak sependapat dengan kedua ibu bapa dalam banyak hal. Ini mungkin terjadi seiring perubahan zaman yang memerlukan kita untuk melihat sesuatu isu menurut perspektif yang berbeza. Tetapi ini tidak bermaksud seorang remaja boleh menengking kedua ibu bapanya atau menyatakan pendapat dengan cara yang keras, bukan juga bermaksud ibu bapa, dengan kedudukannya sebagai ketua keluarga perlu mengamalkan sistem diktator sekaligus menutup ruang untuk remaja mengembangkan kreativiti dan buah fikirannya. Isi hati remaja ingin suaranya di dengar, isi hati ibu bapa ingin kedudukannya dihormati.

Zikir & Fikir

Sudah tiba masanya bagi remaja dan kedua ibu bapa untuk sama-sama berzikir yakni bertafakur merenung kembali garis pandu yang diajarkan oleh Islam tentang tata susila komunikasi antara anak dan indungnya dan juga penghargaan dan toleransi yang ditonjolkan oleh Islam buat semua peringkat umur dan kedudukan.

Disebutkan di dalam sebuah hadith riwayat Al-Bukhari dalam Al-Adabul Mufrad:

Tidak termasuk golongan kamu orang yang tidak mencintai anak kecil dan tidak menghormati orang tua”.

Adalah menjadi kewajiban anak-anak untuk menghormati kedua ibu bapa, seperti yang dinukilkan di dalan surah Al-Isra ayat 23 yang bermaksud:

Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya Engkau tidak menyembah melainkan kepadanya semata-mata, dan hendaklah Engkau berbuat baik kepada ibu bapa. jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua Dalam jagaan dan peliharaanMu, maka janganlah Engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah Engkau menengking menyergah mereka, tetapi Katakanlah kepada mereka perkataan Yang mulia (yang bersopan santun)”.

Patuh & Bincang

Amat mustahil bagi remaja untuk memaksa kedua ibu bapa bersetuju memenuhi semua permintaan remaja. Seandainya remaja marah bila ibu bapa tidak membenarkan remaja pergi ke Mall bersama kawan-kawan contohnya, pasti ada yang mula mendengus mengatakan betapa kedua ibu bapa tidak memahami hati mereka. Tetapi remaja juga tidak seharusnya lupa bahawa tidak semua keinginan kita boleh tercapai sekarang. Bila indung melarang pasti mereka sudah menilai baik buruk sesuatu itu untuk kita. Tapi seandainya kita yakin keinginan kita itu sesuatu yang baik, contohnya ingin memilih jurusan yang kita minati, tetapi ibu bapa menghalangnya, cuba berbincang dan meminta nasihat dari guru-guru kaunseling tentang cara meyakinkan mereka, daripada melawan yang jelas-jelas menderhaka, buktikan kepada diri sendiri bahawa remaja mampu untuk menangani konflik ini dengan cara yang lebih matang. Ingatlah, selagi mana suruhan dan larangan ibu bapa itu tidak bertentangan dengan lunas-lunas agama, remaja punya kewajiban untuk mematuhinya ATAU membincangkannya dengan penuh kerendahan hati dan kasih sayang.

Titah Baginda

Teringat pula titah Kebawah Duli pada majlis sambutan hari guru 2012 pada 24 september yang lalu iaitu Perintah Pendidikan Ugama Wajib 2012 dan penggubalan undang-undang yang mengambil tindakan terhadap ibu bapa yang gagal menyediakan anak-anak pendidikan Islam ini. Kerana anak yang sedari kecil diberi didikan agama, kelak bila sudah memasuki alam remaja, akan lebih sedar tanggungjawabnya terhadap Allah dan Rasul-Nya, menghormati ibu bapa, serta berkhidmat kepada bangsa dan negara.

Tidak wajar pula kepada ibu bapa melepaskan tanggungjawab mendidik anak ini hanya kepada guru-guru sekolah. Kerana pendidikan yang paling berkesan terhadap jiwa anak-anak adalah pendidikan yang dilakukan dengan penuh kasih sayang. Bukan dengan herdikan tatkala si anak tersilap langkah, tetapi dengan menjadi modal insan dalam setiap tutur kata, perwatakan dan tingkah laku.

Barat lebih Islamik?

Oleh yang demikian, bolehlah kita persoalkan, bagaimana mungkin remaja-remaja barat masih mesra berciuman pipi dengan kedua ibu bapanya dan berpelukan mesra sedangkan bangsa kita pula merasa malu untuk menzahirkan kasih sayang kita kepada indung begitu jua sebaliknya bila kita sudah dewasa? Bukankah nilai kekeluargaan yang ditonjolkan barat itu lebih dekat dengan nilai keislaman?

Di dalam sebuah hadith sahih, suatu ketika Nabi Muhammad SAW mencium Hasan bin Ali di sebelah Aqra’ bin Habis. Melihat hal tersebut Aqra’ berkata:

Saya memiliki 10 orang anak tetapi tidak seorang pun dari mereka yang pernah saya cium”,

Rasulullah memandangnya kemudian bersabda:

Siapa yang tidak menyayangi dia tidak akan disayangi”.

Janganlah ibu bapa mengira bahawa tanda kasih sayang itu cukup hanya dengan menghantar anak sekolah, ataukah tanda kewibawaan adalah dengan mengeraskan hati dan sentiasa tegas sehingga lupa akan budaya menunjukkan kasih sayang seperti yang dipamerkan oleh Junjungan kita Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Kasih Sayang Melunakkan Jiwa

Dengan kasih sayang yang tulus itu dan komunikasi yang adil dan terbuka, akan lunaklah hati remaja untuk berkongsi suka duka penghijrahan mereka daripada fasa hidup sebagai seorang kanak-kanak yang sentiasa berada di bawah naungan dan dakapan ibu bapanya, kepada seorang remaja yang sentiasa mengenang penat lelah indung dan tidak tega mendukacitakan keduanya, yang mana dengan kasih sayang ini, layaklah doa yang Allah ajarkan di dalam Surah Al-Isra’:

“Wa Qul Rabbighfirli Waliwalidayya warhamhuma kama rabbayani saghira”,

Ertinya: “Dan katakanlah: Wahai Tuhanku kasihanilah mereka berdua seperti mereka mendidikku semasa kecil”.

Ya memang benar arahan ini ditujukan buat anak, tetapi ia juga ingatan buat ibu bapa bahawa jika mereka tidak mendidik dengan kasih dan sayang semasa kecil, bagaimana mungkin mereka layak mendapatkan doa anak agar mereka dikasihi kembali?

Indahnya Islam, membawa kesejahteraan untuk semua, tidak kira umur, pangkat dan warna. Hormati yang tua, kasihi yang muda kerana Zikir dan Fikir, bukan hanya untuk remaja, tetapi untuk semua.

dm, 2012


No comments:

Post a Comment