Tuesday 16 July 2013

2. BACALAH!

Assalamu alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
Bismillahirrahmanirrahim

Dulu & sekarang

Dulu-dulu, kita tidak ada yahoo ataupun google untuk membantu mempercepatkan pencarian ilmu. Rujukan kebanyakannya bersumberkan buku, majalah dan juga artikel. Bila diberikan projek sekolah, berduyun-duyun tah remaja bersama kawan-kawan pergi ke dewan bahasa mencari bahan. Ada jua yang melencong ke Yayasan atu, maklumlah, iatah satu-satunya gedung besar pada zaman atu.

Sekarang zaman sudah berbeza. Bilangan remaja yang membaca buku ilmiah sudah semakin berkurangan. Malahan mereka sudah termasuk dikalangan “spesis terancam”. Siapa yang rajin membaca buku-buku yang informatif akan diacah-acah sebagai ulat buku. Berbeza daripada dahulu, gelaran ulat buku ini bukan pujian tetapi lebih kepada ejekan.
Buku biasa atau digital?

Spesis ulat buku memang berkurangan tetapi penulis percaya, budaya pencarian ilmu tidak mungkin akan pernah pupus. Sedikit informasi menarik: ketakutan akan pupusnya budaya membaca buku ini sudah timbul sejak zaman 50-an lagi apabila inovasi seperti televisyen mula diperkenalkan. Sekarang 60 tahun telah berlalu tapi ternyata jualan buku masih tetap laris dan diminati umum.

Sebenarnya buku biasa atau buku digital bukan isunya. Kerana apa yang penting ialah kita mesti berterusan mencari dan meneroka ilmu yang bermanfaat mengikut alternatif kesukaan kita. Pelbagai genre harus diterokai untuk menjadikan kitani remaja yang prolifik dan inovatif, kreatif dan dan memiliki pengetahuan yang luas. Apa lagi prolifik ani? Kata si adik yang jarang membaca.

Membaca & ilmu sebagai penangkis

Penekanan terhadap pentingnya menimba ilmu bukan sesuatu yang baru. Hari ini bila kita mendengar tentang kemarahan umat Islam terhadap filem Innocence of Muslims, sebuah filem menghina Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam, apa remaja kitani mampu lakukan? Paling banyak kelihatan ialah yang menunjukkan kemarahannya dengan cara yang tidak Islamik seperti melemparkan sumpah seranah melalui status-status facebook dan twitter, tidak kurang juga yang hanya duduk berdiam diri.

Jarang pula yang mahu menggunakan pendekatan yang lebih bertamadun dan ilmiah seperti menulis artikel tentang keluhuran budi pekerti junjungan kita Nabi Muhammad Salallahu ‘Alaihi Wa Sallam. Dimanakah belia termasuk remaja yang kitani harapkan dapat menangkis hambatan ani? Adakah kita sudah lena dengan hidangan globalisasi seperti mukabuku sehingga kita sudah tidak ada masa terluang untuk membaca untuk tujuan pencarian ilmu dalam ertikata yang sebenarnya?

Ya, memang ramai yang membaca, iaitu apabila sudah esoknya kan periksa. Ramai yang membaca, apabila ada pos curhat melalui ‘fanpage-fanpage’ cerita panas yang semakin digemari. Tidak salah membaca pos seperti ini, tetapi jika tidak ada keseimbangan dalam pengisian minda, kita takut remaja kitani menjadi jumud dan cetek pemikiran, tidak kritis dan tidak bersedia menghadapi gangguan sosiobudaya. Apakah remaja kitani sudah bersedia untuk membela falsafah Melayu Islam Beraja jika salah satu daripada tiga komponen ini  menerima serangan? Perkara ini antara intipati titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia semasa Hari Belia Kebangsaan tahun ini.

Harapan kita

Kita bukan hanya mahukan remaja yang mendapat semua A dalam peperiksaan, tetapi kita juga mahu remaja yang luas ilmu pengetahuan.  Bukan hanya mampu menyelesaikan formula matematik dengan pantas tetapi jua mampu menyelesaikan isu masyarakat dengan tangkas. Apalah gunanya ijazah berlembar-lembar  jika keilmuan terhenti setakat ‘posing’ pegang sijil di bingkai gambar.

Belum tibakah masanya untuk kita menerapkan satu lagi mata pelajaran baharu dalam kurikulum anak-anak kitani? Matapelajaran ‘Bacaan Umum’ yang mendedahkan anak-anak dari peringkat awal hingga ke menengah, dengan genre buku-buku umum yang pelbagai, sebagai cara menjana keintelektualan anak Brunei dalam pelbagai jurusan dan membantu menghalakan kecenderungan remaja terhadap bidang yang diminati, bila sudah masuk ke alam universiti.

Tiada siapa yang mampu menyangkal, kepentingan membaca dalam kehidupan. Tetapi seiring dengan keghairahan menimba ilmu pengetahuan, luang-luangkan tah jua sedikit masa atu untuk membaca kitab suci Al-Quran. Semoga dengan membaca Al-Quran kita memperolehi keberkatan dan kelapangan hati untuk menerima ilmu duniawi dan ukhrawi. Tidak seperti tuntutan manusia yang terlalu menekan, Allah tidak memaksa kita khatam sekaligus dalam satu hari. Amalan yang disukai Allah itu, biar sedikit tetapi berkualiti.

Remaja Zikir Remaja Fikir.


dm, 2012

No comments:

Post a Comment