Wednesday 17 July 2013

4. ERTI PENGORBANAN

Assalamu alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
Bismillahirrahmanirrahim

Bayangkan jika kita sedang siuk-siuk menonton wayang di pawagam bersama rakan-rakan, tiba-tiba ibu menelefon dari rumah memberitahu bahawa ayah akan menjemput kita pulang kerana ibu ada urusan. Si adik kecil tiada yang menjaga. Rasa-rasanya, mahukah kita keluar pawagam dan terus pulang? Atau dalam keterpaksaan kita mengeluh kerana nyata-nyata kita mengalami dua kerugian.

Kerugian pertama: duit sudah habis beli tiket dan tidak menonton sampai tamat.
Kerugian kedua: Tidak dapat berseronok  bersama kawan-kawan.

Begitulah rasa indung terhadap anak-anak yang sanggup berkorban apa saja untuk kebahagiaan dan kesenangan hidup anaknya, berbanding anak-anak yang belum tentu sanggup melakukan perkara yang sama buat kedua ibu-bapanya.

Masihkah kita mengenang kesusahan indung, yang sanggup membelanjakan sejumlah wang untuk biaya tuisyen kita? Bukan itu saja, bahkan mengantat mengambil kitani dari lepas maghrib hinggalah kan ke pukul 9 kadang-kadangnya, kasihan kedua ibu bapa yang telahpun mengorbankan wang ringgit dan masa istirehat.

Tidak mengapa, bisik hati kecil mereka, asal anakku berjaya”.

Sekarang kita berada di bulan Zulhijah iaitu bulan kegembiraan buat umat Islam semua. Kemeriahan Hari Raya Korban lebih terasa sejak beberapa tahun kebelakangan walaupun mungkin tidak semeriah sambutan Hari Raya Aidil Fitri di kalangan orang kitani.

Dengan kedatangan Hari Raya korban ini, akan banyaklah kedengaran ceramah-ceramah yang membawa tema ‘pengorbanan’. Paling popular sekali adalah kisah pengorbanan Nabi Ibrahim Alaihissalam yang tercatat indah di dalam Al-Quran, Surah As-Shaffat ayat 102-109. Baginda akur saat diturunkan sebuah mimpi oleh Allah Subhanahu Wata’ala untuk menyembelih anaknya sebagai bukti kecintaannya kepada Ilahi Rabbi, lalu tatkala Nabi Ibrahim dengan penuh berserah merebahkan anak kesayangannya itu di atas tanah, dan berazam untuk menjalankan perintah ini, Allah lalu menebus anaknya dengan seekor sembelihan yang besar.

Perlu kita fahami bahawa peristiwa suruhan Allah kepada Nabi Ibrahim Alaihissalam ini bukanlah bermaksud Allah Subhanahu Wa Ta’ala menyuruh pertumpahan darah berlaku di antara seorang ayah dan juga anak, bahkan jika kita renungkan sejenak, apabila Allah menggantikannya dengan seekor sembelihan, itu menandakan bahawa tujuan sebenar ibadah korban itu bukanlah untuk mengorbankan manusia tetapi untuk mengorbankan sifat kerakusan manusia dan kecintaan yang berlebihan kepada selain Allah. Bila Sayyidina Ibrahim sudah nekad untuk menyembelih anaknya, di sanalah puncak pembuktian bahawa cintanya kepada Allah tiada berbelah baginya.

Kisah pengorbanan Rasul kita mungkin terlalu besar untuk remaja fahami dalam peringkat umur sebegini. Cuba tanya pada diri, pernahkah remaja melakukan pengorbanan di dalam hidup ini? 60 saat dari sekarang, cuba senaraikan, 10 sahaja pengorbanan yang remaja pernah lakukan dalam hidup? Ada yang bertanya dalam hati:

Kalau membagi bakas Samsung arah adiku bungsu atu kira berkorban kah tu ah?”.

Kita tidak perlu terlalu ekstrem dalam membayangkan pengorbanan yang harus kita lakukan dalam hidup. Pengorbanan sebenarnya tidak dapat dipisahkan dari matlamat hidup. Jika remaja punya matlamat untuk menaikkan lagi prestasi keputusan peperiksaan, contohnya, pasti ada perkara-perkara yang perlu dikorbankan untuk mencapai matlamat tersebut. Korbankan banyak masa untuk berinteraksi di laman sosial, korbankan usin untuk membali buku-buku rujukan, korbankan tenaga untuk mengulangkaji di rumah dan sebagainya. Kesemua pengorbanan ini bukanlah bertujuan supaya kita menyiksa diri sendiri tetapi kerana kita menyayangi diri sendiri lah, makanya kitani mau lebih berjaya.

Sebaliknya, orang yang tidak punya matlamat hidup pula akan cenderung berkorban untuk perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah, misalnya, berkorban wang untuk membeli pakaian-pakaian yang tidak menutup aurat, atau berkorban masa belajar kerana ingin lepak sampai larut malam bersama kumpulan tertentu (jangan tidak peka, isu gangsterisme semakin menular dalam diam), dan akhirnya yang paling kita takuti, jika ada yang sanggup mengorbankan naluri kasih sayang kepada anak yang baru lahir dengan membuangnya di tempat-tempat ‘strategik’ seperti di hospital ripas seperti kes yang terjadi pada tahun 2010 yang lalu. Wal’Iyazubillah. Semoga bilangan kes seperti ini berkurangan dengan bertambahnya kefahaman dan penghayatan remaja terhadap hakikat “pengorbanan” yang sebenarnya.

Ini sesuai dengan pandangan Imam Hasan Al-Banna yang mentakrifkan “Pengorbanan” itu sebagai: “menggunakan (mewakafkan) diri , harta, waktu dan kehidupan untuk mencapai matlamat”.

Untuk menjadi seorang yang berjaya, kita harus punya matlamat dan impian, dan untuk mencapat matlamat dan impian, perlukan pengorbanan. Kerana hujung pangkalnya, kita semua ini adalah Hamba Allah, seluruh kehidupan kita ini adalah persembahan kita kepada Allah, jadi pastikan, remaja memanfaatkan nikmat umur ini dengan penuh amanah, mengetepikan godaan-godaan yang melalaikan, kerana jika kita tidak kuat untuk berkorban, takut-takut kita pula yang akan menjadi korban hawa nafsu sendiri.

Janganlah jadikan kisah Pengorbanan Nabi Ibrahim hanya sebagai kisah yang meniti bibir dan menjadi hawa telinga saban tahun, tetapi hayatilah apa yang tersirat di sebalik peristiwa yang kita Raikan ini.

Ralph Waldo Emerson pernah berkata:

"For everything you have missed, you have gained something else, and for everything you gain, you lose something else".

Ertinya:

“Setiapkali kau kehilangan satu benda, kau akan mendapatkan benda yang lain, dan setiapkali kau meraih satu benda, kau akan terlepas benda yang lain pula”.

Remaja Zikir Remaja Fikir.


dm, 2012

No comments:

Post a Comment