Friday 26 July 2013

14: RAGAM PEMANDU KITA

Assalamu alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
Bismillahirrahmanirrahim
Senario Jalanan

Kelmarin saya memandu kereta mengikuti lorong sebelah kiri. Maklumlah tidak ada urusan yang hendak dikejar, jadi kelajuan pada tahap sederhana. Beberapa saat perhatian saya dicuri oleh gelagat dua buah kereta di lorong kanan.

Sebuah kereta cuba menghampiri kereta di hadapannya yang bergerak begitu perlahan. Oleh kerana yang dihampiri ani tidak melajukan lagi speednya, pemandu yang usulnya gagas atu cepat-cepat beralih ke lorong kiri tepat dihadapan kereta saya, mungkin ingin mencuba memotong dari kiri pula. Sebuah senario pun bermula. Yang lambat tadi tiba-tiba melajukan gerak, seperti tidak rela dipotong jalannya.

Entah berapa ribu rakyat Brunei yang menyaksikan fenomena ini saban hari. Entah apa yang dikejar di jalan raya itu. Jalan raya yang sepatutnya menjadi tempat menuju destinasi, bertukar menjadi gelanggang aksi formula 1. Kalau ada emas betumpuk 100 meter dihadapan, mau jua saya ikut belumba. Tapi mun ganya kan mempertahankan keegoan, rasanya nyawa pemberian Tuhan sangat tidak wajar untuk dijadikan taruhan.

Traffic Jam : Jangan Kedekut.

Pagi-pagi seawal 6.45 atu, jalan Jangsak menuju Beribi, sudah mulai sesak. Mungkin pemandu yang mendengarkan radio saat ani pun sedang menanti kereta untuk bergerak perlahan setiap minit. Macam-macam gelagat manusia setiap kali berlakunya kesesakan lalu lintas. Hmh. Kura-kura dalam perahu, orang minta jalan, dia buat tak tahu. Dengan muka marung tidak mahu bertolak ansur sambil berkata:

“Jalan raya bukan tempat untuk bersedekah atau beramal”.

Padahal kalau kitani fikir-fikirkan, pagi-pagi ani tah waktu yang paling sesuai untuk membuat kebajikan. Semoga dengan kitani memudahkan pemandu lain, urusan kitani akan Allah permudahkan. Bercakap tentang memulakan hari dengan kebajikan, saya  teringat sebuah hadith Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam yang diriwayatkan oleh Imam Muslim bahawa orang yang menunaikan solat subuh itu akan berada di dalam jaminan Allah sepanjang hari.

Pentingkan Diri Sendiri

Ada juga pemandu yang terlebih pandai, Dua lorong menjadi tiga lorong. Macam ia seorang ganya yang gagas kan keraja atau menghantar anak sekolah di negara Brunei Darussalam ani. Lalu tanpa segan silu mengasak di tepi lorong kiri. Bila ternampak polis baru tah sipu-sipu kan kembali ke sirotal mustaqim. Ani pun mun direnung-renungkan, jika 30 buah kereta yang dipotong secara tidak bertimbang rasa, 30 jua lah doa-doa atau ucapan-ucapan kurang baik diucapkan oleh pemandu lain yang tidak berpuas hati, yang mengikut peraturan dan undang-undang negara. Wal ‘Iyazu Billah!

Merangkap Wartawan Tidak Bertauliah

Ada jua lagi pemandu yang pintar atu, sambil memandu, sambil menggunakan telefon bimbit. Sekarang terlalu banyak aplikasi yang menarik sampai waktu memandu pun inda lagi kan telapas dari tangan. Ramai pemandu yang menjadi wartawan tidak bertauliah. Mana tidaknya, bila ada kemalangan berlaku, masing-masing berlumba-lumba untuk mengambil gambar kejadian menggunakan telefon bimbitnya.

Pada dasarnya ia nampak seperti kerja yang baik iaitu menyebarkan informasi tapi pada sudut lain pula, saya amat terkilan mengapa anak bangsa saya jadi tidak sensitif langsung terhadap perasaan mangsa serta keluarga, dengan menyebarkan gambar tadi di whatsapp dan sebagainya. Adakah tata susila Melayu atau adab ajaran Islam mendidik kita untuk menjadi penjaja kisah hidup orang lain?

Nabi Sallallahu 'Alaihi Wa Sallam bersabda:

"Seorang muslim itu adalah saudara muslim lainnya, dia tidak boleh menzaliminya dan menghinakannya. Sesiapa yang membantu keperluan saudaranya maka Allah akan memenuhi keperluannya. Sesiapa yang melapangkan satu kesusahan seorang muslim maka Allah akan melapangkan satu kesusahan di antara kesusahan-kesusahan hari kiamat nanti. Dan sesiapa yang menutupi aib seorang muslim maka Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat". (HR Muslim).

Zikir Itu Di Mana-mana

Kita sering terlepas pandang, menganggap bahawa zikir mengingat Allah itu hanya ketika solat dan baca quran semata. Kita sering lupa bahawa sekecil-kecil perkara seperti adab sopan ketika berada di jalan raya, boleh menjadi penyumbang kepada pahala yang mulia mahupun dosa yang tidak nyata.

Ingatlah bahawa zikir itu adalah ingatkan Allah dengan mulut, hati dan perbuatan kita, juga dengan menjaga Hak Allah dan Hak sesama manusia. Allah Maha Melihat setiap pergerakan hamba-Nya.

Saya Dayangku Mumtazah, penulis dan penyampai rancangan Remaja Zikir musim pertama, semoga perkongsian ini memberi manfaat buat kita semua, sehingga kita berjumpa lagi di kesempatan yang lain pula.

Remaja Zikir, Remaja Fikir.

(Episod Terakhir Musim Pertama).

dm, 2013

No comments:

Post a Comment