Friday 19 July 2013

9. AZAM & TRANSFORMASI 2013

Assalamu alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
Bismillahirrahmanirrahim
Azam Oh Azam!

Menurut satu kajian yang tercatat di dalam The Journal Of Clinical Psychology oleh John Norcross dan rakan pengkajinya,, lebih kurang 50% penduduk akan memulakan azam baru pada setiap awal tahun. Antara azam-azam paling laku adalah seperti menurunkan berat badan, melangsaikan hutang, berhenti merokok, dan macam-macam lagi.

Maka menjadi perkara biasa lah apabila pada awal Januari, ramai yang berduyun-duyun bersenam setiap petang, tetapi bila sudah masuk bulan kedua, lokasinya sudah bertukar ke restoran. Fenomena seperti ini bukan sahaja sering terjadi pada permulaan tahun baru masehi ataupun hijrah, bahkan bagi sesetengah umat Islam, awal ramadhan juga menjadi permulaan yang baik untuk melakukan transformasi. Persoalannya, mengapa terlalu banyak azam yang kecundang di tengah jalan? Adakah kita ini seperti pepatah hangat-hangat tahi ayam?

Jangan Tunggu Awal Tahun

Sebenarnya konsep berazam ini tidak sepatutnya kita sempitkan atau terhadkan permulaannya hanya pada awal sesuatu bulan ataupun tahun. Bukankah selagi matahari terbit dari timur, Allah Al-Ghafur membukakan pintu taubat buat semua hamba-Nya untuk berhijrah ke arah kebaikan?

Kehidupan kita sehari-hari penuh dengan pelbagai peristiwa yang boleh menjadikan kita insaf dan sedar, lagi-lagi bila mengingatkan bahawa nyawa kita ini boleh ditarik bila-bila masa. Jadi bila sudah terdetik di hati rasa ingin berubah menjadi insan yang lebih baik, mulalah mengatur langkah. Ingin juga dipesankan berulangkali sepertimana disebutkan di dalam sebuah hadith, bahawa amalan yang paling disukai Allah itu, biarpun sedikit, tetapi tetap konsisten.

Kualiti Azam Penting

Biarlah kita fokus kepada satu azam berbanding berdozen-dozen. Contohnya, jika tahun yang sudah-sudah penulis berazam menjadikan tahun tersebut tahun ‘mencari peluang baru’, maka tahun berikutnya penulis ingin fokus untuk menjadikan temanya ‘tahun membaca satu buku sebulan’. Jangan risau jika remaja memulakan tema ini dipertengahan tahun misalnya, kerana hidup kita ini adalah proses menyambung hayat yang bertiti-titi dari sehari ke sehari. Tidak ada satu hari pun yang kosong tanpa hari bulan bukan? Itu bererti hari yang kita jalani tidak ada pemisah dan kita boleh mulakan azam baru bila-bila masa.

Support System

Bila kita berazam, kita tidak perlulah memberitahu seluruh warga facebook tentang 1001 matlamat baru kita, tapi alangkah baiknya jika kita ada sistem sokongan sebagai tempat perkongsian yang mampu menyelamatkan kita daripada kerugian masa. Ciri-ciri support system yang diajarkan di dalam surah Al-Asr ialah beriman,beramal soleh, saling menasihati ke arah kebaikan dan menasihati agar sabar meninggalkan maksiat dan perkara-perkara yang sia-sia. Dengan berdampingan dengan ahli keluarga atau teman yang punya ciri seperti ini, semoga kita terus istiqamah dalam bermujahadah memperbaiki diri.

Panduan Transformasi

Terlalu banyak teori dan juga formula yang disusun oleh para pakar psikologi untuk membantu kita mentransformasikan diri. Namun penulis amat tertarik dengan 10 Muwassofat At-Tarbiyah yang disusun oleh Imam Hasan Al-Bana, yang boleh menjadi panduan remaja yang ingin berhijrah. Ciri-ciri yang sepuluh itu adalah seperti berikut:

1) Saleemul ‘Aqidah (Akidah yang selamat)
2) Sahihul ‘Ibadah (Ibadah yang benar dan sesuai sunnah)
3) Matinul Khuluq (Akhlak yang mantap)
4) Mujahidul Li nafsihi (Bersungguh-sungguh)
5) Qadirun ‘Alal kasbi (Mandiri)
6) Qawiyyul Jismi (Fizikal yang sehat dan kuat)
7) Muthaqqaful fikri (Berwawasan)
8) Munazzom Fi Syu’nihi (Teratur)
9) Harithun ‘Ala Waqtihi (Menjaga dan menghargai waktu)
10) Nafi’un Li Ghayrihi (Bermanfaat bagi orang lain).

Kesemua ciri Muwassofat At-Tarbiyah ini dapatlah dirumuskan kepada penjagaan 3 hak iaitu hak Allah, hak untuk diri sendiri dan hak sesama manusia.

Natijah Transformasi

Dengan akidah yang mantap seorang remaja tidak akan mudah percaya ataupun gentar terhadap sebarang ramalan yang sering ada di dalam horoskop, ataukah mesej berantai tentang bila terjadinya hari kiamat, mahupun berita-berita pelik tentang 'holy water' yang sering berulangkali disebarkan untuk mempermainkan akidah umat Islam yang masih belum utuh.

Ibadah yang betul dan akhlak yang mantap pula secara tidak langsung mendidik remaja untuk berdisiplin menepati waktu dan adab ketika mempersembahkan ibadah kepada Allah, juga tata susila bersama manusia. Buktinya apabila sudah cukup bilangan jema’ah di masjid pada hari Jumaat, orang tidak akan menunggu kedatangan kita, jadi kita yang harus bijak mengatur masa agar mengikut rentak masyarakat secara umumnya.

Remaja, Bakat & Da’wah

Remaja yang cemerlang juga adalah remaja yang berwawasan luas, dan mampu menggunakan kesihatan fizikal dan mentalnya untuk disumbangkan kepada manusia. Sekarang penyanyi-penyanyi dan kumpulan band tempatan semakin tumbuh bak cendawan selepas hujan. Remaja yang berwawasan akan melihat bakatnya itu bukan sahaja sebagai satu jalan untuk mencari wang atau populariti bahkan juga merupakan tanggungjawab dan amanah oleh Allah Subhanahu Wa Ta’ala untuk kepentingan umat manusia.

Penulis berpendirian bahawa Islam itu lebih luas dari sekadar ceramah-ceramah atau forum-forum ilmiah. Walaupun Ilmu itu tetap menjadi prioriti kita kerana ia adalah kunci Iman dan Ibadah, namun medan da’wah itu mencakupi arena kesenian dan artistik. Daripada terlalu asyik dengan lirik-lirik yang berunsurkan cinta fana yang mengkhayalkan, mengapa tidak gunakan bakat itu untuk mencipta lagu-lagu yang lebih bermanfaat? Kita tidak bercakap tentang kompang dan rebana di sini. Jika genre kontemporari yang menjadi pilihan, kembangkanlah bakat itu di sana. Juga tentang video-video lucu oleh remaja tempatan yang semakin popular di youtube, daripada menghasilkan sketsa lucu yang kurang pengajaran, mengapa tidak menghasilkan lawak jenaka yang punya unsur nasihat atau lebih baik lagi dikaitkan dengan akhlak Islamiyah?

Jangan Tunggu Lama-lama

Kita tidak perlu menunggu janggut kita panjang untuk menjadi insan yang bermanfaat untuk agama. Kita tidak perlu membayangkan untuk membuat irama nasyid yang suram. Mahupun menghasilkan video yang barisan pelakonnya hanyalah lelaki betengkuluk berjubah dan bercakap ala-ala arab di padang pasir . Bak kata Professor Tariq Ramadhan:

“Don’t Arabise yourself, don’t Pakistanise yourself, just be a good Bruneian Muslim”.

Salah Siapa?

Realiti hari ini, remaja yang kurang berwawasan asyik menyalahkan Zionis mahupun barat atas segala masalah sosial yang menimpa umat Islam. Siapakah yang patut dipersalahkan jika dalam banyak-banyak budaya barat yang boleh dicontohi, budaya yang negatif sahaja yang menjadi ikutan? Adilkah kita bila kita menyalahkan orang lain atas pilihan kita sendiri?

Mengapa tebuat artis yang disuka, kita membabi buta mengagungkan perilaku mereka? Namun bila seorang rakyat Palestin terkorban, seluruh orang Barat kita persalahkan tanpa mengkaji dan mencermin kelalaian diri. Rendahkanlah hatimu wahai remaja Islam, bahawa nikmat Islam ini bukan tiket untuk kita menyombongkan diri dan menganggap diri kita paling suci dikalangan manusia, kerana itu, marilah kita memperbaharui niat dan berazam untuk bermuhasabah diri dan tekun memperbaiki akhlak kita kerana boleh jadi orang yang kita kecam itu akan disucikan Allah dengan hidayah Islam manakala kita yang lalai pula akan dicabut nikmat Islam dan Iman, Wal ‘Iyazubillah.

Remaja Zikir, istiqamah dalam transformasi


dm, 2013

No comments:

Post a Comment