Tuesday 16 July 2013

3. TIPS DI MUSIM PEPERIKSAAN

Assalamu alaikum Wa Rahmatullahi Wa Barakatuh
Bismillahirrahmanirrahim

Belajar saat akhir, trend!

Belajar saat akhir memang “trend” sebilangan para remaja. Sikap ini sudah berakar umbi di kalangan pelajar kitani, bermula dari peringkat rendah, membawa ke menengah kemudian sampai tah jua tabiat atu ke peringkat institusi pengajian tinggi. Sekali cuba pasti mau lagi.
Sekarang remaja sedang sibuk menghadapi musim peperiksaan, yang membuat persediaan awal, tahniah diucapkan kerana membuat perancangan yang kemas dan rapi. Mungkin adik-adik cuma tinggal membaca nota-nota kecil yang ringkas kerana informasi yang terperinci semua sudah meresap di dalam dada. Berbanding dengan remaja yang suka belajar saat akhir, pasti masih membilak-bilak muka surat,  mengira-ngira, sempat kah inda untuk menghabiskan ke semua sukatan pelajaran. Sehingga timbul ungkapan terdesak seperti:

“kalau dapat ditalan segala nota ani supaya tejawab, ku talan ni”.

Jangan panik

Peperiksaan memang sesuatu yang mengerikan. Hebatnya penangan peperiksaan ini sehingga ada satu istilah fobia yang dinamakan “testophobia” iaitu fobia untuk menghadapi sebarang ujian. Ketika akan menghadapi ujian, badan akan mula menggeletar dan dada terasa senak. Tapi rasanya remaja kita tidaklah sampai panik sehingga timbul uri yang bukan-bukan seperti ini. Sebenarnya tidak ada apa yang perlu ditakutkan dengan peperiksaan. Bersedia kah, inda bersedia kah, masa untuk menghadapinya sudahpun tiba. Daripada remaja lama-lama memikirkan untuk menyesali masa yang sudah tidak dapat diundur, ada baiknya remaja lebih fokus untuk memanfaatkan seberapa banyak masa yang berbaki, untuk berjuang sebaiknya.

Tips di musim peperiksaan

Beberapa tips yang akan dikongsikan ini semoga akan dapat memberikan manfaat kepada remaja kita menjelang peperiksaan.

1) Jaga kesihatan

Jagalah kesihatan pada waktu genting sebegini. Tidak dinafikan membaca dan mengingati ilmu yang dipelajari itu penting, tetapi jika pelajar mengalami gangguan kesihatan, pasti konsentrasi juga akan turut terjejas.

Pastikan remaja tidur dengan cukup, sekurang-kurangnya 6 jam (jika terdesak, hehe).
Pilihlah makanan yang berkhasiat dan makan secara sederhana jangan jua sampai kebungkayangan dan akhirnya menimbulkan rasa mengantuk, lalu katil dan bantal empuk pun melambai-lambai.

2) Cara belajar tersendiri

Teringat zaman remaja dulu,  apabila dekat musim peperiksaan, ada yang akan sibuk mewarna-warnikan notanya dengan pen “highlight” beraneka warna. Memang menurut kajian, warna boleh membantu memperkuatkan daya ingatan.

Ada pula yang lebih suka berbincang dengan rakan-rakan, dan tidak kurang juga yang lebih sikap belajar secara individu. Lain orang lain cara. Apa yang penting, remaja harus berusaha memantapkan pembacaan semaksimanya.

3) Kawal emosi

Bukan hanya kesihatan dan persediaan akademik yang perlu dititik beratkan, bahkan emosi juga perlu diberikan keutamaan. Maklumlah, pada waktu kritikal seperti ini, emosi remaja pasti lebih sensitif dalam menghadapi ujian yang mendatang. Mungkin tanpa disenghajakan, remaja melakukan perkara yang menimbulkan kemarahan kedua ibu bapa. Perkara biasa lah ayah dan ibu marah-marah bila kita tersilap. Dalam diam mereka mendoakan kejayaan kita.

Mungkin juga ada salah faham dengan kekasih hati? Maklumlah remaja sekarang ini, bercinta dan putus cinta sudah menjadi perkara biasa.  Remaja harus lebih cekal menerima risiko tindak-tanduk sendiri. Banyakkan bersabar dan cepat-cepat pujuk hati. Apa pun peristiwa yang berpotensi mengganggu emosi remaja, jangan biarkan ia menguasai fikiran. Berusahalah melihat sesuatu ujian yang menyakitkan itu sebagai jalan untuk kita mendekatkan diri kepada Allah. Apa yang penting, rawat kekecewaan dengan zikrullah dan selesaikan masalah yang timbul samada selepas mengulangkaji pelajaran atau setelah tamatnya musim peperiksaan.

4) Memohon kepada Allah

Fizikal yang sihat, mental yang kukuh mantap serta emosi yang stabil amat penting.  Namun kita sebagai hamba Allah perlu sentiasa akur bahawa kita hanya mampu berusaha, natijahnya Allah yang menentukan. Yakinlah, Allah tidak akan pernah mensia-siakan usaha hamba-Nya yang ikhlas. Lakukanlah solat hajat memohon ketenangan jiwa, semoga apa yang dibaca itu keluar dalam peperiksaan. Banyakkan berselawat dan memohon restu kedua ibu, kesemua ini akan memberikan aura positif dan ketenangan kepada fizikal dan spiritual kita.

Ternukil wahyu di dalam surah Ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud:

"(Iaitu) orang-orang Yang beriman dan tenang tenteram hati mereka Dengan zikrullah. ketahuilah Dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia".

Jangan mengalah!

Buat yang belajar saat-saat akhir, sekarang bukan masanya untuk mengalah. Biarlah kesilapan kali ini membuatkan kita lebih menghargai masa di masa akan datang. Jangan panik atau bimbang tentang keputusan yang akan diperolehi nanti tetapi bimbanglah kalau  remaja tidak mula menggunakan sisa-sisa masa yang ada sekarang. Susun sedikit strategi dan bijaklah menentukan keutamaan.

Untuk akhirnya pernah terdengar satu ungkapan:

"Orang yang membaca mungkin akan gagal, tetapi orang yang tidak membaca, tidak mungkin akan lulus".

Remaja Zikir Remaja Fikir.


dm, 2012

No comments:

Post a Comment